MCMC siasat pengguna TikTok muat naik kandungan jelik melampau terhadap PM
CYBERJAYA – Seorang pengguna aplikasi TikTok disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penyebaran dua kandungan berunsur palsu serta jelik melampau yang menyentuh nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut kenyataan MCMC, kandungan berkenaan dipercayai dimuat naik sebagai reaksi terhadap isu membabitkan pesta tidak bermoral dalam negara serta kenyataan rasmi Perdana Menteri berkaitan pemberian insentif penghargaan kepada rakyat.
Dalam satu lagi hantaran berasingan, individu terbabit turut dikesan membuat dakwaan yang disifatkan sebagai palsu dan jelik melampau berkaitan lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara.
“Bagi membantu siasatan, MCMC telah memanggil individu terbabit untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca juga : MCMC perkenal garis panduan keselamatan maklumat dan rangkaian
MCMC berkata, pihaknya turut merampas satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM bagi tujuan analisis lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
MCMC menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan platform media sosial untuk tujuan penyebaran kandungan jelik, palsu atau tidak berasas.
“Tindakan tegas akan terus diambil bagi memelihara ketenteraman awam serta keharmonian negara,” tegas MCMC.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








