Al-Quran: Bukan sekadar ‘penghias’ di kedai makan, rumah
SUDAH menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita hari ini untuk membuka bacaan Al-Quran melalui corong pembesar suara di kedai makan atau di rumah, kononnya untuk menenangkan suasana atau mendapatkan keberkatan.
Namun, ramai tidak menyedari perbuatan itu sebenarnya boleh membawa kepada dosa jika tidak dilakukan dengan adab yang betul.

Ketua Kursus Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Jabatan Pengajian Am di Politeknik Ibrahim Sultan, Ustazah Rohamiah Muda berkata, perbuatan membuka bacaan Al-Quran tanpa ada yang mendengarnya, sebaliknya penghuni rumah atau pelanggan kedai hanya berbual kosong merupakan satu bentuk penghinaan terhadap kitab suci itu.
“Ini bukan soal suasana tenang atau amalan yang kelihatan baik semata-mata.
“Al-Quran adalah kalam Allah yang sepatutnya didengar dan direnung maksudnya, bukan sekadar menjadi ‘latar bunyi’ ketika orang lain sibuk berbual, makan atau membuat kerja lain.
“Ia ibarat kita berbicara dengan seseorang, tetapi orang itu langsung tidak mempedulikan kita iaitu tiada anggukan, tiada perhatian, tiada balasan. Tidakkah itu satu bentuk penghinaan?” kata guru Al-Quran itu kepada Malaysia Tribune.
Ustazah Rohamiah menegaskan bahawa tindakan itu bukan sahaja tidak mendatangkan pahala, malah boleh menjadi dosa jika dilakukan tanpa rasa hormat terhadap Al-Quran.

Malangnya, menurut beliau, ramai umat Islam yang terlepas pandang akan hal itu kerana menganggap niat mereka sudah memadai.
“Adab terhadap Al-Quran sangat dititikberatkan dalam Islam,” tegas beliau.
Menurutnya lagi, Allah menyuruh kita mendengar dengan khusyuk ketika Al-Quran dibacakan.
Ia berdasarkan firman-Nya dalam Surah Al-A’raf, ayat 204 yang bermaksud:
“Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarlah akan dia dan diamlah, mudah-mudahan kamu diberi rahmat,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar mereka yang ingin mendengar Al-Quran memilih masa yang sesuai misalnya ketika bersendirian, dalam keadaan tenang atau sebelum tidur.
“Jangan jadikan bacaan Al-Quran semata-mata sebagai ‘penghias suasana’ dalam kedai makan atau rumah yang penuh perbualan kosong,” katanya.
Tambahnya lagi, tindakan membuka Al-Quran dalam keadaan itu seolah-olah mempermainkan kemuliaannya kerana tiada usaha untuk memuliakan dan menjiwai kalam Tuhan tersebut.
“Jika kita benar-benar mahu mendapatkan keberkatan, maka dengarlah dengan penuh perhatian, bukan hanya menekan butang ‘play’ dan kemudian buat hal masing-masing.
“Walaupun ada sebahagian ulama mengatakan boleh memasang ayat Al-Quran di kedai makan, namun jika tiada penghayatan daripada orang ramai, lebih baik tidak dipasang ayat tersebut.

“Sebagai alternatif, pemilik kedai atau seseorang itu boleh memasang lagu nasyid, zikir atau selawat di dalam kedai atau di kawasan awam berbanding bacaan Al-Quran sebagai halwa telinga,” katanya lagi.
Kesimpulannya, umat Islam perlu lebih peka dan berilmu dalam mengamalkan sesuatu yang bersangkutan dengan Al-Quran.
Ia bukan sekadar satu kitab suci untuk dibaca, tetapi ia perlu dihormati dan diperlakukan dengan penuh adab serta rasa rendah diri sesuai dengan kemuliaannya sebagai Kalamullah yang agung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








