Aktivis dedah kegiatan LGBT di Kelantan, puji tindakan tegas polis, KDN
KUALA LUMPUR – Aktivis masyarakat, Mohd Hisyamuddin Ghazali atau Syam Ghaz menegaskan aktiviti golongan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Kelantan memang wujud dan semakin membimbangkan.
Melalui satu hantaran di Facebook, Syam Ghaz mendedahkan butiran mengejutkan mengenai satu perhimpunan tertutup dipercayai melibatkan golongan gay dan LGBT yang berlangsung di sebuah lokasi tepi sungai di daerah Pengkalan Chepa baru-baru ini.

Beliau mendakwa, seramai kira-kira 100 orang dipercayai daripada kalangan berisiko tinggi jangkitan HIV/AIDS menghadiri acara tersebut yang tidak dimaklumkan kepada pihak polis mahupun jabatan kesihatan negeri.
“Yang datang malam itu adalah golongan berisiko tinggi, ada AIDS dan terlibat dengan gay atau LGBT. Program ini tidak dimaklumkan kepada polis atau jabatan berkaitan kesihatan,” katanya.
Menurutnya, hasil tangkapan pihak polis ke atas 20 individu yang hadir menemui bukti kukuh termasuk beratus unit kondom, ubat HIV, serta rakaman pengakuan dan video kegiatan tidak bermoral dalam telefon bimbit suspek.

Pendedahan tersebut dibuat sebagai respons balas kepada kenyataan EXCO PAS Kelantan, Hilmi Abdullah berhubung penafian atau kekaburan terhadap kewujudan budaya LGBT di negeri tersebut.
“Adakah ini bermakna peratus HIV tinggi di Kelantan dan majoriti yang kena HIV adalah lelaki? Gerun nak dedah benda ni. YB Hilmi sila jawab?” soal Syam.
Beliau turut menambah bahawa sebelum ini, ramai lelaki gay dari Kelantan sanggup merentasi sempadan ke Golok, Thailand melalui lebih 200 pengkalan haram yang kini telah ditutup oleh pihak berkuasa.
“Pusat hiburan di Golok terjejas 80 peratus sebab pelanggannya ramai dari Kelantan. Bila semua pengkalan haram ditutup, maka mereka terpaksa guna jalan sah iaitu cop passport dan border pass yang menyukarkan pergerakan sulit mereka,” jelasnya lagi.
Menurut beliau, tindakan tegas Ketua Polis Kelantan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membuka mata masyarakat terhadap aktiviti songsang yang selama ini tersembunyi, tetapi kini semakin membiak dalam negeri selepas akses ke luar disekat.
Beliau turut menyeru agar usaha membanteras gejala songsang ini diteruskan secara menyeluruh tanpa memilih bulu, termasuk menangani kegiatan pelacuran, liwat dan gangguan seksual di pejabat.
“Saya tak mahu politikkan isu ini. Usaha Ketua Polis Kelantan tangkap mereka yang buat hubungan sejenis harus dipuji. PAS dan Kerajaan Pusat kena bersatu banteras sebelum Allah balas macam kisah Nabi Lut,” tulisnya.
Syam Ghaz menegaskan sokongannya terhadap gerakan Amar Makruf Nahi Mungkar (AMNM) yang dilaksanakan oleh pihak polis dan KDN di bawah kepimpinan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Saya rasa akan ada tangkapan seterusnya. Tunggu. Jalan terus AMNM,” katanya menutup kenyataan tersebut.
Terdahulu, JKN Kelantan menafikan penglibatan mereka dalam program komuniti yang dikaitkan dengan golongan LGBT.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin menjelaskan bahawa program berkenaan dianjurkan sepenuhnya oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah Majlis AIDS Malaysia (MAC) dan bukannya di bawah kendalian Pejabat Kesihatan Daerah Kota Jembal atau JKN Kelantan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








