Ukraine tawar rundingan damai baharu kepada Rusia
KYIV – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengesahkan telah menghantar tawaran kepada Rusia untuk mengadakan rundingan damai baharu minggu depan, selepas usaha terdahulu terhenti bulan lalu, lapor Al Jazeera.
Menurut Zelenskyy, Setiausaha Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara Ukraine, Rustem Umerov telah mengemukakan tawaran rasmi kepada pihak Rusia bagi meneruskan rundingan yang tertangguh.
“Segala usaha mesti dilakukan untuk mencapai gencatan senjata. Pihak Rusia tidak seharusnya terus bersembunyi daripada membuat keputusan penting,” katanya dalam ucapan kepada rakyat Ukraine semalam.
Zelenskyy turut mengulangi kesediaannya untuk bertemu secara bersemuka dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai langkah ke arah perdamaian berkekalan.
“Pertemuan di peringkat kepimpinan amat diperlukan untuk memastikan keamanan sebenar iaitu keamanan yang berpanjangan,” ujarnya.

Setakat ini, tiada sebarang maklum balas segera daripada pihak Rusia berhubung tawaran terbaharu tersebut.
Umerov yang merupakan bekas Menteri Pertahanan Ukraine baru sahaja dilantik minggu lalu sebagai Ketua Majlis Keselamatan dan Pertahanan Negara dan diberikan tanggungjawab menghidupkan semula momentum diplomatik antara kedua-dua negara.
Beliau sebelum ini mengetuai delegasi Ukraine dalam dua pusingan rundingan terdahulu di Turkiye pada awal tahun ini, namun hasil yang dicapai hanya melibatkan pertukaran tawanan perang dan pemulangan mayat tentera.
Dalam rundingan sebelum ini, Rusia menetapkan beberapa tuntutan keras termasuk mendesak Ukraine menyerahkan empat wilayah yang kini didakwa milik Rusia serta menamatkan sokongan ketenteraan daripada negara-negara Barat iaitu syarat yang ditolak sepenuhnya oleh Kyiv.
Langkah terbaharu itu menandakan usaha berterusan Ukraine untuk mencari jalan damai walaupun dalam keadaan serangan dan tekanan ketenteraan yang masih berlarutan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








