BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Rasuah pusat data: Panik diserbu, suspek bakar wang tunai RM1 juta

PETALING JAYA – Seorang pengurus projek sebuah syarikat pembinaan terkemuka nekad membakar wang tunai bernilai hampir RM1 juta bagi menghapuskan bukti rasuah ketika serbuan dijalankan ke atas kediamannya Khamis lalu.

Difahamkan, lelaki berusia lingkungan 40-an itu bertindak demikian sejurus menyedari kehadiran sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya dalam operasi khas berkaitan siasatan kes perolehan tender projek pembinaan pusat data.

Menurut sumber, sebaik sahaja pintu rumah dibuka, pasukan SPRM mendapati premis tersebut dipenuhi asap tebal yang berpunca daripada sebuah bilik mandi di dalam rumah berkenaan.

“Selepas pintu rumah berjaya dibuka, pasukan SPRM yang membuat serbuan mendapati keadaan dalam rumah berkenaan dipenuhi asap tebal berpunca dari sebuah bilik mandi.

“Hasil pemeriksaan dijalankan di bilik mandi berkenaan, SPRM menemui wang kertas RM100 berjumlah RM1 juta yang sudah terbakar,” katanya.

Jelasnya lagi, suspek dipercayai bertindak mengambil beberapa bungkusan wang tunai dan cuba memusnahkannya dengan membakar wang berkenaan dalam keadaan panik melihat kehadiran pegawai penyiasat.

Jam tangan mewah jenama Rolex, Omega dan Cartier, serta pelbagai barangan kemas termasuk cincin dan syiling emas yang disita SPRM.

Pemeriksaan lanjut di seluruh rumah tersebut turut menemukan wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang disembunyikan dalam beberapa kotak bantal, selain tiga utas jam tangan mewah jenama Rolex, Omega dan Cartier, serta pelbagai barangan kemas termasuk cincin dan syiling emas.

Kesemua wang tunai dan barangan berharga tersebut telah disita oleh SPRM untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan mengenai tindakan suspek yang membakar wang kertas tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa perbuatan melupuskan bahan bukti adalah satu kesalahan serius di sisi undang-undang.

“Tindakan suspek cuba melupuskan bahan-bahan bukti merupakan satu kesalahan serius yang boleh didakwa di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan serta membawa kepada hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda,” katanya.

Walau bagaimanapun, ujar beliau, fokus utama siasatan kes ini adalah di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button