Pelajar masa kini wajah baharu pendidikan tinggi negara – Zambry
KUALA LUMPUR – Golongan pelajar hari ini disifatkan sebagai generasi baharu yang bakal mencorak landskap pendidikan tinggi negara ke arah yang lebih progresif, inklusif dan bertaraf antarabangsa, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Menurut beliau, pelajar masa kini bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah jauh lebih terdedah kepada dunia luar dan perkembangan teknologi, sekali gus mempercepatkan proses kematangan dan pembangunan kendiri.
“Saya percaya pelajar hari ini jauh lebih hebat daripada zaman kami. Mereka bukan sekadar berjaya dalam peperiksaan, malah memiliki akses yang luas kepada teknologi dan dunia global yang menjadikan mereka lebih pantas berfikir dan bertindak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyantuni lebih 3,000 pelajar asasi dari lima universiti awam dalam sesi In Person With Doc Zam (IPWDZ) Siri ke-8 yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM).
Pelajar yang hadir mewakili lima institusi iaitu UM, Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malasia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Dalam ucapannya, Dr. Zambry turut menegaskan bahawa pendidikan tinggi negara kini sedang bergerak ke arah pendekatan baharu yang lebih berfokuskan pembelajaran berasaskan pengalaman industri dan aplikasi sebenar, bukan semata-mata berlegar di bilik kuliah.
“Kita menuju kepada model pembelajaran di mana pelajar mungkin hanya berada di kampus selama dua tahun dan dua tahun lagi di industri. Inilah bentuk pendidikan tinggi yang lebih realistik dan memberi impak besar kepada kebolehpasaran graduan,” katanya.

Ujar beliau, pendekatan itu selaras dengan kehendak dunia pekerjaan yang semakin mencabar, kompleks dan dipacu oleh perkembangan teknologi serta kemunculan ekonomi digital.
Tambahnya, mahasiswa tidak lagi boleh bergantung kepada sistem konvensional semata-mata, sebaliknya perlu berani mencabar idea, bertanya dan mengasah daya fikir kritikal.
Dalam majlis sama, Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi Yayasan Perkasa Siswa (YPS) turut menyampaikan sumbangan kepada enam pelajar bagi meringankan urusan pengajian serta bantuan khas Care4OKU berupa alat bantuan pendengaran kepada seorang pelajar berkeperluan khas.
Melalui sesi soal jawab IPWDZ , Zambry mengingatkan agar golongan mahasiswa lebih berhati-hati dalam menyaring maklumat, khususnya kandungan palsu yang dihasilkan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Hari ini, AI boleh cipta imej yang sangat realistik, tapi bila disemak orang itu langsung tak wujud. Sebab itu pentingnya ada fikiran kritikal – tengok, nilai, dan soal sebelum percaya,” tegas beliau.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








