BERITA SEMASADALAM NEGERI

46 anggota Maritim Malaysia ke AS laksana misi bawa pulang kapal baharu

PUTRAJAYA – Seramai 46 anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan berlepas ke Baltimore, Amerika Syarikat pada 18 Julai ini bagi melaksanakan misi membawa pulang kapal EX-USCG Cutter Steadfast ke tanah air.

Kapal bersaiz 64.14 meter panjang dan 10 meter lebar itu dijangka tiba di Malaysia pada pertengahan November tahun ini dan bakal menjadi aset terbaharu Maritim Malaysia bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan negara di perairan Laut China Selatan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menyifatkan misi tersebut sebagai lipatan sejarah membanggakan, bukan sahaja kepada agensi, tetapi juga kepada negara secara keseluruhan.

“Misi ini bukan sekadar pelayaran biasa. Ia simbol pengiktirafan antarabangsa kepada keupayaan dan profesionalisme Maritim Malaysia.

“Jaga nama baik negara, kekalkan integriti dan tunjukkan disiplin tinggi sepanjang anda semua berada di sana,” tegas beliau dalam satu sesi amanat khas kepada kru terbabit semalam.

Baca juga : 108 insiden laut direkodkan, Maritim Malaysia seru budaya keselamatan diperkasa

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas kelulusan dalam proses penerimaan kapal tersebut daripada pihak US Coast Guard.

“Tanpa sokongan padu Kerajaan, misi sebegini tidak akan menjadi kenyataan. Ini bukti bahawa kepimpinan negara sentiasa mendukung pengukuhan keselamatan maritim Malaysia,” katanya lagi.

Untuk rekod, seramai empat kru Maritim Malaysia telah berada di Baltimore sejak Mei lalu bagi menjalani latihan penyesuaian dan pemeriksaan teknikal ke atas kapal berkenaan sebagai persiapan awal sebelum pelayaran pulang.

Turut hadir pada majlis amanat berkenaan ialah Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Nor Hisham Ibrahim serta barisan Pengarah Bahagian Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Mengulas kenyataan Saifuddin Nasution semasa Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam yang menekankan keperluan penjawat awam untuk memiliki kompetensi dan melaksanakan tugas dengan penuh amanah, Mohd Rosli menyambut baik saranan tersebut.

“Perkara tersebut perlu ada kepada setiap Penguat Kuasa Maritim Malaysia, ini kerana tanpa kompetensi dan kemahiran, aset Agensi tidak dapat diuruskan dengan sebaiknya.

“Jika amanah tidak dijadikan teras utama, maka perairan negara akan dipenuhi dengan ancaman jenayah maritim dan membahayakan keselamatan negara,” jelas beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button