
108 insiden laut direkodkan, Maritim Malaysia seru budaya keselamatan diperkasa
KLANG – Sebanyak 108 insiden di laut membabitkan 251 mangsa direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dari Januari hingga Mei tahun ini.
Daripada jumlah itu, 203 mangsa berjaya diselamatkan manakala 36 dilaporkan maut dan 12 lagi masih hilang.
Pengarah Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Mohd Tahir Khalid berkata, jika trend semasa berterusan, angka korban berkemungkinan mencecah sehingga 100 nyawa menjelang hujung tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) 2025 yang berlangsung di Persiaran Kapal Bugis, Klang.
Turut hadir, Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh dan Pegawai Khas N44 ADUN Selat Klang, Roslan Ibrahim.
Menurut Mohd Tahir, HKKM diadakan secara tahunan pada 6 Jun bagi memperingati detik bersejarah pengambilalihan tugas penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) oleh Maritim Malaysia daripada Jabatan Laut Malaysia bermula tahun 2006.
Bertemakan “Berapung Untuk Hidup”, sambutan HKKM tahun ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya menjadi platform penting menyemai kefahaman serta memupuk budaya keselamatan dalam kalangan komuniti maritim dan masyarakat umum.
“Kemahiran berapung merupakan elemen asas yang mampu menyelamatkan nyawa ketika kecemasan di laut.
“Kajian mendapati ramai mangsa boleh diselamatkan sekiranya mereka memiliki pengetahuan asas bertahan sementara menunggu bantuan tiba,” katanya.
Antara pengisian utama sambutan HKKM 2025 termasuk aktiviti “Berapung Untuk Hidup” yang disertai Persatuan Squad Insaniah dan Persatuan Bot Rekreasi Selangor, demonstrasi menyelamat dari udara, dialog bersama komuniti nelayan dari Tok Muda, Kapar dan Klang, pameran keselamatan maritim dan pemeriksaan kesihatan percuma oleh Fakulti Pergigian UiTM serta jualan Rahmah.
Dalam pada itu, Mohd Tahir turut mengingatkan komuniti maritim agar mengambil langkah keselamatan menjelang musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November nanti.
Beliau menasihatkan agar semakan ramalan cuaca dilakukan sebelum ke laut, bot dan peralatan diperiksa serta keperluan membawa jaket keselamatan, alat pengesan lokasi (PLB), kit kecemasan dan memaklumkan lokasi kepada keluarga atau kenalan.
Maritim Malaysia turut menyeru agar masyarakat tidak memandang ringan aspek keselamatan, sebaliknya menjadikan ilmu asas seperti berenang dan teknik berapung sebagai persediaan menghadapi sebarang situasi luar jangka.
“Penganjuran HKKM itu diharap menjadi titik tolak pembudayaan keselamatan dalam kehidupan seharian masyarakat, terutamanya mereka yang bergantung kepada laut sebagai sumber rezeki,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |