AGAMABERITA SEMASA

MTHQA ke-65 angkat tema “Membangun Ummah MADANI” selaras aspirasi negara

KUALA LUMPUR – Pemilihan tema Membangun Ummah MADANI bagi Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 mencerminkan komitmen Malaysia dalam membina masyarakat berteraskan nilai spiritual, intelektual dan akhlak yang unggul.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, tema tersebut seiring dengan aspirasi negara dalam melahirkan modal insan cemerlang serta berpaksikan prinsip MADANI.

Menurut beliau, penganjuran MTHQA pada tahun ini bakal menyaksikan penyertaan seramai 72 peserta dari 50 buah negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 40 peserta akan bertanding dalam kategori Tilawah al-Quran melibatkan 26 lelaki dan 14 perempuan.

“Sementara bagi kategori Hafazan al-Quran 30 Juzuk, seramai 32 peserta terdiri daripada 20 lelaki dan 12 perempuan akan mengambil bahagian,” katanya.

Baca juga : Program eHati: Dua saksi baharu dipanggil JAIS esok

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran MTHQA di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Tambah beliau, majlis tilawah berprestij itu akan berlangsung selama lapan hari bermula 2 hingga 9 Ogos ini di WTCKL dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malaysia turut akan diwakili oleh empat peserta, masing-masing dua orang bagi kategori Tilawah dan Hafazan.

“Bagi kategori Tilawah al-Quran, negara diwakili oleh Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dari Perak dan Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi dari Terengganu.

“Manakala bagi kategori Hafazan al-Quran, Muhammad Adib Ahmad Rozaini dari Perak serta Putri Auni Khadijah Mohd Hanif dari Kelantan akan membawa cabaran negara,” jelasnya.

MTHQA kali ini bakal menyaksikan penglibatan 16 orang hakim dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan dan Indonesia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button