BERITA SEMASA

FRIM FPS diiktiraf Tapak Warisan Dunia UNESCO

PUTRAJAYA – Forest Research Institute Malaysia Forest Park Selangor (FRIM FPS) secara rasmi disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan memaklumkan keputusan penyenaraian itu diumumkan semalam semasa Persidangan ke-47 Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO yang berlangsung dari 6 hingga 16 Julai di Ibu Pejabat UNESCO di Paris, Perancis.

Menurut kenyataan itu, penyenaraian berkenaan diputuskan oleh 21 ahli Negara Anggota Jawatankuasa Warisan Dunia, hasil usaha pencalonan tapak tersebut yang telah dimulakan sejak tahun 2013.

“FRIM FPS adalah tapak yang istimewa dan menjadi antara inisiatif terawal pemulihan ekosistem hutan tropika berskala besar melalui penanaman semula pokok di bekas kawasan perlombongan bijih timah.

“Usaha ini telah menetapkan penanda aras antarabangsa melalui kejayaan penghasilan satu ekosistem yang hampir menyamai hutan hujan tropika semula jadi, lengkap dengan kepelbagaian spesies pokok yang tinggi serta kaya dengan komposisi biodiversiti,” jelas kenyataan itu hari ini.

Baca juga : VM2026 MOTAC kaji semula sasaran pelawat antarabangsa

Tambah kenyataan MOTAC, penyenaraian FRIM FPS membuktikan komitmen berterusan negara dalam melindungi dan memelihara tapak semula jadi serta budaya yang mempunyai nilai sejagat luar biasa, sekali gus meningkatkan visibiliti Malaysia di mata dunia.

“Kementerian ini juga optimis pengiktirafan ini akan menyuntik nilai tambah yang signifikan kepada FRIM FPS sebagai salah satu produk pelancongan utama di Selangor.

“Selaras dengan pelaksanaan Visit Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2025, kejayaan ini diharap dapat meningkatkan kedatangan pelancong luar negara ke Malaysia sekali gus menyumbang penjanaan ekonomi negara khususnya kepada komuniti setempat,” menurut kenyataan itu.

Setakat ini, Malaysia telah berjaya menyenaraikan enam Tapak Warisan Dunia UNESCO yang terdiri daripada Taman Kinabalu (2000), Taman Negara Gunung Mulu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka, Melaka dan George Town (2008), Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012) dan Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah (2024).

Hingga kini, sebanyak 1,223 tapak di seluruh dunia telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia 1972.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button