RM3 bilion aset dikaitkan Tun Daim dan sekutu akan disita, SPRM perluas siasatan ke 11 negara
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang giat melaksanakan tindakan penyitaan dan pelucutan hak aset bernilai RM3 bilion yang dikaitkan dengan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, isteri beliau, Toh Puan Na’imah Khalid, ahli keluarga serta sekutu rapat.
Menurut kenyataan rasmi SPRM hari ini, langkah tersebut melibatkan aset luar biasa yang dikenal pasti di 11 negara termasuk United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Switzerland, Singapura, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Jersey, Itali, Jepun, Indonesia dan beberapa negara di benua Afrika.
Sehubungan itu, SPRM telah memperoleh Perintah Halangan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA) daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Jun lalu terhadap tujuh aset alih dan tidak alih di UK yang dianggarkan bernilai RM758 juta.
“Permohonan Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance – MLA) kepada pihak berkuasa United Kingdom sedang diproses melalui Pejabat Peguam Negara, selain perbincangan lanjutan bersama Pusat Kerjasama Penguatkuasaan Undang-Undang Antirasuah Antarabangsa (IACCC) turut diselaras bagi memastikan tindakan penguatkuasaan berjalan secara tersusun dan berkesan.
“Bagi aset di Singapura dan New Jersey pula, permohonan perintah halangan telah difailkan pada 19 Jun lalu dengan pendengaran berlangsung pada 23 dan 25 Jun 2025.
“Aset di Jersey melibatkan empat akaun bank dan pelaburan dianggarkan bernilai RM1.15 bilion manakala di Singapura membabitkan 12 akaun bank dan pelaburan bernilai RM540 juta,” jelas kenyataan itu.
Selain itu, SPRM juga sedang mengemukakan permohonan bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang pemilikan aset di AS, Switzerland, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Itali dan Jepun melalui kerjasama strategik dengan Bank Negara Malaysia, IACCC serta permohonan MLA melalui Pejabat Peguam Negara.
Di peringkat domestik, Menara Ilham yang terletak di Kuala Lumpur turut dikenakan tindakan penyitaan.
SPRM memperoleh perintah berkenaan pada 4 Jun dan melaksanakan sitaan sehari selepas itu.
Permohonan pelucutan hak tanpa pendakwaan di bawah Seksyen 56 AMLATFPUAA 2001 telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Jun 2025.
SPRM memaklumkan, dalam mengesahkan pemilikan aset yang disyaki tidak diisytiharkan, pihaknya telah merekodkan keterangan daripada isteri Allahyarham dan anaknya, Muhammed Amir Zainuddin Daim, pada 14 Jun lalu.
Keterangan daripada seorang lagi anak, Muhammed Amin Zainuddin Daim yang kini berada di UK, akan diambil dalam masa terdekat.
Ketiga-tiga individu berkenaan merupakan pemegang saham utama Ilham Baru Sdn. Bhd., iaitu syarikat yang menguasai majoriti saham dalam Ilham Tower Sdn. Bhd. dan dikenal pasti sebagai pemilik manfaat (beneficial owner) Menara Ilham.
Selaras Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009, notis pengisytiharan harta turut diserahkan kepada 22 individu yang dikenal pasti sebagai saudara-mara dan sekutu rapat Allahyarham Daim dan isteri bermula 10 Julai lalu.
SPRM dalam kenyataannya menegaskan bahawa segala tindakan yang diambil adalah sebahagian daripada fungsi dan tanggungjawab suruhanjaya itu dalam memastikan tiada unsur rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan kekayaan negara.
“SPRM kekal komited untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berpandukan undang-undang tanpa sebarang campur tangan politik atau kepentingan mana-mana pihak,” kata kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








