BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAANMALAYSIA MADANIPMX

Setiap rakyat berhak diiktiraf, tiada yang tercicir – Ketua JPN

ULU TEMBELING – Setiap dokumen pengenalan diri yang diserahkan kepada warganegara bukan hanya sekadar kad atau sijil, bahkan jaminan atau tiket masa depan.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias berkata demikian sewaktu meninjau pelaksanaan program MEKAR di Kuala Sat, Ulu Tembeling baru-baru ini.

Beliau yang mengetuai pasukan Bahagian Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) dalam misi lapangan selama dua hari menyaksikan JPN hadir memberikan perkhidmatan secara terus kepada penduduk luar bandar yang sebelum ini terhalang oleh kekangan jarak dan akses.

“Kami hadir bukan sekadar membuka kaunter. Kami hadir membawa amanah memastikan hak rakyat untuk memiliki dokumen pengenalan diri tidak dinafikan walau di mana mereka berada,” katanya.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama JPN Negeri Pahang dan Bahagian MEKAR itu melibatkan perjalanan sejauh lebih 100 kilometer dari Jerantut ke Kampung Kuala Sat, sebuah penempatan terpencil dalam gugusan Ulu Tembeling.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Sarinah Apisah dan Pengarah Bahagian MEKAR, Mohammad A’sim Md Ali.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan melalui Van MEKAR termasuk permohonan MyKad baharu, gantian kad serta urusan berkaitan dokumen kelahiran dan kematian. Sebanyak 138 urus niaga berjaya diselesaikan sepanjang misi berlangsung.

“Bagi sesetengah orang, 138 itu mungkin hanya angka. Namun bagi kami, itu adalah 138 individu yang tidak lagi terpinggir daripada perhatian sistem,” ujarnya.

Menurutnya, pelaksanaan program MEKAR adalah pendekatan lapangan yang menzahirkan agenda Reformasi MADANI yang diterajui oleh Perdana Menteri dan diselaras oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah kepimpinan Menteri Dalam Negeri.

“Reformasi MADANI bukan sekadar dasar. Ia adalah tindakan nyata yang membina semula kepercayaan rakyat, khususnya dalam kalangan komuniti yang selama ini merasa terasing daripada sistem penyampaian kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata, perkhidmatan kepada rakyat mesti bersifat proaktif dan tidak boleh bergantung pada infrastruktur semata-mata.

“Kami perlu bergerak ke lokasi terpencil, ke kawasan yang tidak pernah disentuh perkhidmatan. Itu cabaran sebenar dan juga kewajipan kami,” katanya.

Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan JPN Pahang dan anggota MEKAR yang sentiasa komited menjalankan amanah, termasuk di luar waktu bekerja dan dalam keadaan mencabar.

“Mereka adalah wajah sebenar perkhidmatan awam sanggup berbakti tanpa mengira waktu, tanpa menuntut keselesaan.

“Ini bukan sekadar kerja, ini satu perjuangan,” tegasnya.

Badrul Hisham turut menyeru mereka yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri agar segera berhubung dengan pejabat JPN berhampiran.

“Selagi ada yang tercicir, usaha ini tidak akan berhenti. Setiap rakyat berhak diiktiraf, dan kami di JPN akan pastikan hak itu disampaikan,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button