BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kerajaan patuhi Perlembagaan isi kekosongan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan bahawa pengisian jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dengan mematuhi sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelantikan bagi kedua-dua jawatan tertinggi badan kehakiman itu akan dibuat mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

“Pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Perkara ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara yang wajib dipatuhi semua pihak.

“Ia juga mencerminkan prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi asas kepada sistem pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Azalina, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 dijadual berlangsung pada 15 hingga 17 Julai ini bagi membincangkan perkara berkenaan.

Jelasnya, Jemaah Menteri telah mengambil maklum berhubung kekosongan dua jawatan tersebut dan turut membincangkan perkara itu dalam mesyuarat hari ini.

“Kerajaan amat memahami keprihatinan rakyat mengenai pentingnya memelihara kelangsungan dan integriti institusi kehakiman sebagai tiang seri kedaulatan undang-undang.

“Kerajaan MADANI tetap komited memperkukuh keyakinan awam terhadap institusi kehakiman termasuk meneliti langkah-langkah penambahbaikan jangka panjang ke arah meningkatkan ketelusan serta kebebasan badan kehakiman,” ujarnya.

Azalina turut menyeru semua pihak memberi ruang agar proses pelantikan dapat berjalan lancar dan teratur demi kepentingan negara, kedaulatan undang-undang serta kestabilan institusi kehakiman.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim kini menjalankan kuasa dan fungsi jawatan Ketua Hakim Negara sehingga pelantikan baharu dibuat.

Katanya, pelantikan itu adalah selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan di bawah Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi memastikan kelangsungan pentadbiran keadilan negara.

Untuk rekod, jawatan Ketua Hakim Negara kosong selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersara wajib pada 2 Julai lalu manakala Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim menamatkan perkhidmatan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan sehari kemudian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button