BERITA SEMASALUAR NEGARA

Rundingan ambil alih TikTok hampir dimuktamadkan – Trump

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan proses rundingan mengambil alih aplikasi media sosial TikTok daripada pemiliknya yang berpangkalan di China, ByteDance, kini berada di peringkat akhir.

Menurut laporan TASS, Trump berkata perbincangan rasmi dengan pihak China dijangka berlangsung pada awal minggu depan, melibatkan Presiden Xi Jinping atau wakilnya.

“Kami sudah hampir mencapai persetujuan. Saya jangka perbincangan lanjut dengan China akan berlangsung dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah beliau, meskipun perjanjian tersebut pada asasnya telah dipersetujui, pentadbiran AS mungkin memerlukan kelulusan rasmi daripada Beijing sebelum ia boleh dimuktamadkan sepenuhnya.

“Kami fikir kelulusan daripada China mungkin diperlukan, walaupun tidak semestinya,” ujarnya.

Terdahulu, Trump mendedahkan bahawa sekumpulan pelabur berprofil tinggi menunjukkan minat serius untuk membeli TikTok.

Beliau turut menyatakan bahawa nama bakal pembeli dijangka diumumkan dalam tempoh dua minggu.

Sementara itu, jurucakap Kedutaan China di Washington, Liu Pengyu berkata, bahawa Beijing akan berpegang kepada undang-undang sedia ada.

“China akan terus mematuhi peraturan dan dasar domestik berkaitan isu TikTok,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button