Letupan di institut fesyen, 37 cedera, 2 masih hilang
PARIS – Sekurang-kurangnya 37 cedera dalam insiden letupan dipercayai akibat kebocoran gas di sebuah pusat pengajian fesyen di sini pada Rabu.
Laporan AFP yang memetik sumber bomba berkata, kejadian di pusat pengajian fesyen terkenal, Paris American Academy yang terletak di Latin Quarter itu turut menyebabkan sebuah bangunan runtuh.
Difahamkan, dua mangsa masih lagi dikategorikan sebagai hilang, dan dipercayai terperangkap dalam runtuhan bangunan.
Media antarabangsa melaporkan 70 jentera bomba dengan 270 kakitangan dan anggota bergegas ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.
Sembilan doktor juga ditugaskan di lapangan bagi membantu merawat mangsa.
Saksi-saksi kejadian menggambarkan letupan yang berlaku sangat kuat sehingga menyebabkan kebakaran dengan api marak.
Pihak tentera turut dikerahkan bagi membantu memantau tahap keselamatan di kawasan kejadian.