Isu Titah Adendum: Tujuh persoalan Peguam Negara dibentang di Mahkamah Persekutuan
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini dijadual mendengar tujuh persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Peguam Negara berhubung rayuannya dalam kes semakan kehakiman melibatkan Titah Adendum.
Rayuan itu difailkan susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu yang membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Permohonan tersebut bertujuan memaksa kerajaan atau enam pihak lain mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.
Titah berkenaan didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, berkaitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.
Pada 28 April lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Peguam Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut dan menetapkan pendengaran rayuan selama dua hari bermula hari ini.
Menurut Mahkamah Persekutuan, ketika memberikan kebenaran untuk merayu, tujuh persoalan undang-undang yang dibangkitkan adalah isu baharu yang belum pernah diputuskan serta menyentuh kepentingan awam.
Mahkamah berkata, persoalan yang dikemukakan itu bersifat novel dan penting untuk dihujahkan, khususnya berkaitan prinsip pembuktian dan pengemukaan keterangan.
Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Najib menamakan tujuh pihak sebagai responden iaitu Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia.
Baca juga : Najib buat laporan polis terhadap bekas AG berhubung isu Titah Adendum
Baca juga : Shafee dakwa ada pihak cuba sembunyikan Titah Adendum YDPA ke-16
Antara relif yang dipohon Najib ialah supaya responden atau mana-mana seorang daripada mereka menyerahkan salinan titah utama Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Beliau turut memohon perintah bahawa jika titah itu wujud, semua atau salah seorang responden perlu melaksanakannya dengan segera memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








