Kerajaan salur RM10,000 kepada waris keluarga mangsa nahas bas UPSI
JERTEH – Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas baru-baru ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, berkata KPT dengan kerjasama UPSI telah berjaya mengumpulkan hampir RM1.7 juta hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk individu, syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan.
“Sumbangan ini akan disalurkan kepada semua mangsa mengikut kategori iaitu RM10,000 bagi keluarga pelajar yang terkorban dan RM5,000 bagi pelajar yang cedera.
“Agihan sumbangan ini akan diselaraskan oleh pihak UPSI bersama Ketua Setiausaha KPT dan akan dipercepatkan pelaksanaannya,” katanya dalam sidang media selepas program Ziarah Kasih KPT Prihatin yang diadakan di salah sebuah kediaman mangsa hari ini.
Baca juga : Nahas UPSI: Barangan milik pelajar terkorban dihantar pulang
Pada program itu, Zambry mengadakan lawatan ke lima buah rumah mangsa, termasuk kediaman keluarga Allahyarhamah Nurly Syahirah Azman di Kampung Gong Pasir Kerandang dan Allahyarhamah Nor Ayuni Maslan di Felda Tenang.
Lawatan turut melibatkan pelajar yang cedera dalam insiden sama, iaitu Tuan Adham Tuan Adnan (Kampung Alur Keladi), Nik Khairulnisa Ruzmi (Taman Durian Bongkok), dan Nurul Farhana Ab Aziz (Kampung Padang Luas).
Turut serta dalam lawatan ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Anesee Ibrahim; Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim; Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md. Amin Md. Taff; serta Naib Canselor universiti-universiti lain termasuk UMK, UniSZA dan UMT.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, kerajaan mengambil serius insiden tersebut dan akan menyiasat segala kemungkinan termasuk aspek pengurusan pengangkutan pelajar serta kecuaian pemandu yang terbabit.
“Kita tidak boleh berdiam diri terhadap tragedi yang meragut 15 nyawa ini. Langkah-langkah tegas perlu diambil agar kejadian seumpama ini tidak berulang.
“KPT juga sedang meneliti cadangan berkaitan larangan perjalanan waktu malam serta penggunaan perkhidmatan bas luar oleh pelajar, dan akan mengeluarkan garis panduan baharu dalam masa terdekat,” katanya.
Tegas Zambry, UPSI dan universiti-universiti lain akan mengambil pengajaran daripada peristiwa ini dan bekerjasama dalam memperkukuh aspek keselamatan pelajar termasuk dari sudut prosedur perjalanan dan pemantauan logistik.
“Kita mahu supaya selepas ini tiada lagi pengabaian terhadap tanggungjawab menjaga keselamatan pelajar dan kita akan pastikan sebarang kelemahan ditangani secara menyeluruh,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















