LUAR NEGARA

Gajah mengamuk ketika perarakan keagamaan di India

AHMEDABAD – Gara-gara terkejut dengan muzik yang terlalu kuat, tiga ekor gajah mengamuk dan mencetuskan kekecohan ketika berlangsungnya festival keagamaan.

Insiden itu berlaku semasa perarakan ke-148 Jagannath Rath Yatra di sini.

Ia bermula apabila seekor gajah jantan dipercayai terkejut dengan bunyi muzik yang kuat dan sorakan orang ramai lalu bertindak memecut ke hadapan, diikuti dua ekor gajah lain yang turut panik.

Seekor gajah jantan dirakam berlari di jalanan sekali gus mencetuskan kegemparan ramai dalam insiden tersebut.

Susulan insiden itu, inisiatif pemuliharaan hidupan liar Vantara, yang diasaskan oleh dermawan Anant Ambani segera mengerahkan pasukan kecemasan khas dari Jamnagar bagi membantu pihak berkuasa tempatan.

Pasukan itu terdiri daripada dua doktor haiwan pakar hidupan liar, enam mahout (penjaga gajah) senior, sebelas kakitangan sokongan terlatih serta lima unit ambulans khas untuk gajah.

Pasukan Vantara bukan sahaja menjalankan pemeriksaan perubatan terhadap gajah yang terlibat, malah turut memberikan sokongan tingkah laku dan psikologi serta memastikan proses penempatan semula dilakukan dengan selamat dan penuh etika.

“Selepas insiden ini, kami segera menghubungi pihak Vantara untuk mendapatkan bantuan.

“Mereka bertindak pantas dan bekerjasama erat dengan pihak berkuasa serta penjaga haiwan untuk memastikan gajah-gajah tersebut dipindahkan ke lokasi penjagaan yang lebih selamat dan sesuai,” ujar Ketua Pemuliharaan Hutan Gujarat, Dr. K. Ramesh.

Pengurusan Kuil Jagannath turut merakamkan penghargaan atas usaha tangkas pasukan Vantara.

“Komitmen mereka dalam memastikan gajah-gajah ini menerima rawatan dan pemulihan yang diperlukan amat kami hargai,” kata Pemegang Amanah Jawatankuasa Kuil Jagannath, Mahendra Jha.

Beberapa ekor gajah yang telah dihias tiba-tiba mengamuk ketika perarakan berlangsung.

Untuk rekod, Vantara menempatkan pusat penjagaan gajah terbesar di dunia yang meliputi kawasan seluas 998 ekar, termasuk lebih 100 ekar hutan buatan yang dirancang secara khusus untuk pemulihan fizikal dan mental gajah.

Kini, seramai 260 ekor gajah yang diselamatkan daripada industri sarkas, pengemis jalanan, pelancongan dan pembalakan menjalani pemulihan menyeluruh di sana.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk kolam hidroterapi, kolam semula jadi, pancuran air, lopak lumpur, timbunan pasir dan ruang khas yang direka bentuk untuk menyokong kesihatan serta kebajikan jangka panjang haiwan ini.

Vantara juga menjadi pelopor dalam rawatan veterinar inovatif untuk gajah, termasuk pembedahan katarak pertama pada gajah jantan dan penggunaan ruang oksigen hiperbarik pertama di dunia untuk gajah.

Dengan lebih 650 tenaga profesional termasuk doktor haiwan, ahli biologi dan penjaga terlatih, Vantara terus menjadi contoh terbaik dalam pemuliharaan dan penjagaan etika gajah di peringkat global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button