BERITA SEMASA

JKNS siasat insiden kematian mengejut dua petugas kesihatan

CYBERJAYA – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sedang menyiasat kejadian kematian mengejut dua petugas kesihatan yang bertugas di dua fasiliti kesihatan berbeza di daerah Klang, masing-masing pada 4 dan 6 Jun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian itu dan ia merupakan situasi menyedihkan kepada semua terutama ahli keluarga dan kenalan rapat kes berkenaan.

Beliau berharap, orang ramai dan pihak media dapat menghormati serta memberi ruang privasi kepada keluarga untuk melalui tempoh yang sukar ini.

“Pihak jabatan telah menjalankan siasatan bagi kedua-dua kes berkenaan. Begitu juga pihak polis sedang menjalankan siasatan mereka untuk mengenal pasti punca kematian.

“Semua pihak disarankan agar mengelak daripada membuat sebarang spekulasi dan tidak menyebarkan sebarang informasi yang berkaitan dengan kedua-dua kes berkenaan secara sewenang-wenangnya,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Menurut Sha’ari, kejadian yang berlaku juga amat mendukacitakan jabatan berkenaan.

“Sehubungan itu, jabatan ini ingin mengingatkan mana-mana individu yang mengalami masalah emosi agar tampil untuk mendapatkan bantuan sokongan emosi daripada golongan profesional.

“Atau boleh hubungi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental Talian HEAL di 15555 yang dikendalikan Pegawai Psikologi (Kaunseling) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam,” ujarnya.

Dr Sha’ari dan seluruh warga JKNS turut mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua mendiang atas kejadian berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button