BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

MINDEF sedia bawa pulang rakyat Malaysia jika diarahkan kerajaan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan sedia memikul tanggungjawab membawa pulang rakyat Malaysia keluar dari Iran sekiranya diarahkan berikutan konflik yang melanda negara itu dengan rejim Israel.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, buat masa ini pihaknya belum menerima sebarang arahan untuk membawa pulang 26 orang rakyat Malaysia yang berada di negara itu.

“Biasanya ia dikelolakan oleh Kementerian Luar. Bagaimana cara (membawa pulang rakyat) dan apa semua, saya percaya mereka (Kementerian Luar) akan fikirkan sebab tidak semua kapal terbang boleh masuk ke Iran.

“MINDEF sedia menerima arahan daripada kerajaan jika ada apa-apa keputusan yang dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera Ke-59, di sini hari ini.

Tambah beliau, misi membawa pulang rakyat Malaysia di sesebuah negara tidak semestinya menggunakan kapal atau pesawat milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Keputusan biasanya diuruskan oleh Kementerian Luar. Meraka akan usahakan dan ia tidak semestinya melalui tentera.

“Ini kerana pada masa ini, adalah lebih baik pesawat tentera tidak masuk ke sana kerana nanti ada yang menganggap tentera kita nak bantu mana-mana negara,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled memberitahu, anggota Batalion Pengaman Malaysia (MALBATT) 850-12 yang berada di Lubnan berada dalam keadaan selamat.

“Mereka jauh dari sana (Iran). Tetapi apa-apa pun, kita memang sentiasa ada hubungan berterusan. Kalau ada apa-apa, tentu kita akan dimaklumkan dan kita akan ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button