BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

Perpaduan sosial pelaburan strategik masa depan – Menteri Perpaduan

KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan perpaduan sosial sebagai pelaburan paling strategik untuk masa depan Malaysia.

Beliau berkata sedemikian sempena pelancaran laporan Building a United Malaysia: Investing in Social Cohesion oleh Architects of Diversity (AOD) di sini hari ini.

Aaron menyifatkan laporan tersebut sebagai ‘berani, teliti dan sangat diperlukan’, khususnya dalam konteks semasa di mana polarisasi, penyebaran maklumat palsu dan jurang sosial semakin meruncing.

“Perpaduan sosial bukan ideal yang boleh diketepikan. Ia adalah keperluan asas bagi pembangunan lestari, keamanan sejati dan kemakmuran berterusan,” tegas beliau.

Program ‘Building a United Malaysia: Investing in Social Cohesion’ oleh Architects of Diversity (AOD) yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Aaron turut menggariskan peranan penting Dasar Perpaduan Negara (DPN) yang menjadi rangka kerja utama dalam memperkukuh keharmonian dan identiti bersama di Malaysia.

“DPN menumpukan kepada tiga objektif strategik iaitu mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional menerusi interaksi sosial dan dialog merentas komuniti; membentuk identiti kebangsaan berdasarkan nilai bersama, bukan keseragaman serta membangun masyarakat progresif, aman dan makmur melalui pemberdayaan komuniti, belia dan institusi tempatan,” katanya.

Tambah beliau, DPN adalah dasar yang sentiasa berkembang, dibentuk berasaskan penyelidikan, konsultasi awam dan input masyarakat sivil termasuk laporan AOD yang baru dilancarkan.

Menurutnya lagi, untuk membina perpaduan yang sebenar, negara perlu berani mengakui cabaran sosial sedia ada.

“Terdapat 10 defisit sosial utama yang perlu diberi perhatian segera iaitu perpecahan etnik berterusan, ketegangan agama, jurang kelas sosial, sistem pendidikan yang terpecah dan kurangnya penekanan terhadap bahasa kebangsaan.

“Di samping itu, jurang antara generasi, ketidaksamaan gender, politik identiti dan federalisme, jurang bandar-luar bandar serta penyebaran maklumat salah oleh media tradisional dan digital juga termasuk dalam cabaran yang perlu ditangani.

“Menamakan defisit ini secara jelas bermakna kita komited untuk menghadapinya bersama agar kepelbagaian Malaysia menjadi kekuatan, bukan kelemahan,” katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa agar perpaduan sosial diberikan perhatian yang sama seperti pelaburan dalam infrastruktur, ekonomi dan pertahanan negara.

“Tanpa perpaduan, kepercayaan antara rakyat akan terhakis. Bila kepercayaan hilang, kerjasama dan rasa kekitaan juga akan pudar,” tegasnya.

Kementerian juga katanya, akan meneliti laporan itu dengan serius dan membentangkan syor utamanya dalam Mesyuarat Kajian Semula Dasar Perpaduan Negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button