BERITA SEMASA

Wanita Rohingya didenda RM3,000 beli beras dari pemborong tidak sah

SEREMBAN — Seorang wanita warga Rohingya didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah membeli 23 kilogram (kg) beras daripada pemborong tidak sah, Disember tahun lalu.

Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah menjatuhkan hukuman itu terhadap Norasyikin Asil, 31, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama dua minggu sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Norasyikin yang merupakan pemegang lesen runcit beras didakwa membeli beras jenis Chinigura sebanyak 23 paket seberat satu kilogram setiap satu daripada sebuah syarikat yang bukan pemegang lesen borong beras yang sah.

Kesalahan itu dilakukan di premis perniagaannya di Jalan Sheikh Ahmad pada pukul 3.30 petang pada 5 Disember 2024.

Kes tersebut didakwa mengikut Peraturan 10(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

Menurut fakta kes, pemeriksaan dilakukan oleh sepasukan anggota Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Sembilan di premis milik tertuduh, Norahman Enterprise, menemui beras istimewa Chinigura yang dipamerkan untuk jualan dalam 23 kampit seberat satu kilogram setiap satu.

Hasil siasatan mendapati syarikat tersebut memperoleh bekalan beras daripada sumber yang tidak sah iaitu bukan daripada pemegang lesen borong beras seperti yang ditetapkan undang-undang.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman minimum dikenakan manakala Pegawai Pendakwa dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana bekalan beras diperoleh daripada saluran yang tidak sah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button