PM X

Tuntutan Sulu: Tiada kompromi terhadap rakyat Malaysia yang bersekongkol – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan pendirian untuk tidak berkompromi terhadap mana-mana individu termasuk rakyat Malaysia, jika didapati bersekongkol dengan kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu dalam kes tuntutan Sabah.

Menurut Anwar, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menjalankan siasatan terhadap mana-mana pihak yang bersekongkol dengan kumpulan tersebut bagi menuntut Sabah.

Katanya, siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan bagi kesalahan sabotaj.

“Di sini, saya juga ingin menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang yang sedang berkuat kuasa terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara dengan memberikan sebarang sokongan, bantuan secara langsung mahupun tidak langsung dan bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian dalam sesi penerangan berhubung tuntutan waris Sulu terhadap Sabah, di sini.

Menurut pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, beliau tidak menolak kemungkinan orang dalam menjadi dalang dalam tuntutan kumpulan Sulu itu.

Katanya ia adalah berdasarkan tuntutan tanpa henti mereka atas syarikat berkaitan kerajaan Malaysia di luar negara.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan sedang menyiasat kemungkinan wujud ‘tali barut’ dalam kalangan rakyat negara ini yang membantu dalam kes kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Malaysia akan bertindak secara proaktif bagi menamatkan isu tuntutan tersebut.

Tegasnya, Kerajaan Malaysia juga akan memastikan kepentingan Malaysia serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Dalam hal ini, Kerajaan Malaysia akan terus mara ke hadapan dan berjuang habis-habisan, demi melindungi dan memelihara kepentingan dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button