Jenayah & Mahkamah

Kerajaan Malaysia didakwa mahu Najib bankrap

PUTRAJAYA – Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mendakwa kerajaan Malaysia berusaha memufliskan Datuk Seri Najib Razak, sebelum Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) mendengar merit pembelaaanya dalam kes taksiran cukai tambahan yang didakwa terhadapnya

Menurut Muhammad Shafee, hujah Kerajaan Malaysia sebagai responden mengenai SCIT sebagai forum yang betul bersifat akademik atau tidak lagi relevan jika responden berjaya memufliskan Najib sebelum suruhanjaya itu membuat kesimpulan.

“Dalam erti kata lain, walaupun SCIT kemudiannya memutuskan bahawa taksiran tambahan itu adalah tidak betul atau tidak berasas, ia adalah sia-sia kerana perayu (Najib) sudah diputuskan bankrap.

“Adalah hujahan perayu bahawa tindakan oleh responden berniat jahat dengan motif tersembunyi,” katanya 

Beliau berkata demikian ketika berhujah di hadapan panel lima hakim di Mahkamah Persekutuan, hari ini.

Panel hakim itu dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan; Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Mengulas lanjut, Muhammad Shafee juga mempersoalkan penalti cukai berjumlah RM1.7 bilion dikenakan terhadap Najib.

Katanya, jumlah cukai berjumlah RM8 bilion yang dikenakan terhadapnya sebahagian adalah datang daripada derma yang kemudian digunakan untuk program politik dan sosial.

Jelasnya, LHDN tidak sepatutnya mengenakan penalti tersebut kerana duit tersebut adalah hasil derma bukan pendapatan bercukai.

Terdahulu, Najib dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin, membuat rayuan berhubung penghakiman terus diperoleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap mereka dalam kes tunggakan cukai pendapatan.

Bekas Perdana Menteri dan anaknya itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula lebih RM1.7 bilion cukai tertunggak daripada mereka.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Pada 9 September 2021, Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan penghakiman terus itu, namun pada 10 Mei tahun lepas mereka memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Show More

Related Articles

Back to top button