Pelaksanaan SST: Cukai bersasar, lindungi rakyat, perkukuh negara
PUTRAJAYA – Pengumumam kerajaan terhadap pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) secara bersasar yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 merupakan sebahagian daripada agenda Reformasi Fiskal MADANI yang bertanggungjawab dan berpaksikan keadilan sosial.
Langkah itu bukan sekadar mengutip cukai, tetapi merupakan pelaburan semula untuk rakyat, dengan hasil tambahan akan disalurkan kepada bantuan rakyat.

Antaranya seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), perkhidmatan kesihatan awam serta pendidikan.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, pelarasan SST bukan untuk membebankan rakyat tetapi ia adalah langkah reformasi fiskal yang bersasar.
“SST ini bukan untuk membebankan rakyat biasa. Pelaksanaannya bersasar dan kebanyakan barangan serta perkhidmatan asas harian kekal bebas cukai.
“Hanya barangan mewah dan perkhidmatan perkhidmatan bukan keperluan yang terlibat. Ini bermakna cukai ini adil dan menyasarkan golongan yang mampu, bukan rakyat kebanyakan,” jelas MOF.
Apa Yang Tidak Dikenakan Cukai?
Barangan keperluan asas seperti ayam, udang, buah tempatan, baja, racun pertanian dan simen tidak dikenakan sebarang cukai.
Pendekatan itu dilihat mampu mengelakkan sebarang tekanan terhadap kos sara hidup rakyat dan kadar inflasi.

Dalam masa yang sama, barangan pilihan seperti salmon, buah-buahan import dan basikal lumba dikenakan SST antara 5 hingga 10 peratus.
Ini selaras dengan pendekatan adil iaitu golongan yang mampu, menyumbang lebih.
Perkhidmatan Yang Terlibat & Perlindungan Rakyat
Peluasan Cukai Perkhidmatan (CP) hanya melibatkan enam kategori iaitu sewaan/pajakan, pembinaan, kewangan, kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Bagaimanapun, kerajaan menetapkan pengecualian khas agar rakyat dan perusahaan mikro kekal dilindungi:
- Sewaan kediaman & sewaan oleh PMKS (jualan < RM500,000) tidak dikenakan cukai.
- Pembinaan kediaman dan kontraktor kecil (jualan < RM1.5 juta) juga dikecualikan.
- Perkhidmatan kesihatan & pendidikan swasta hanya dikenakan kepada bukan warganegara.
- Cukai pendidikan hanya terpakai kepada 30 buah sekolah antarabangsa elit dengan yuran lebih RM60,000 setahun.

Langkah ini memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam melindungi rakyat biasa dan perniagaan kecil sambil memperkukuh fiskal negara.
SST vs GST: Pendekatan Yang Lebih Saksama
Berbeza dengan GST yang dikenakan ke atas hampir semua barangan dan perkhidmatan tanpa mengira kemampuan pengguna, SST baharu ini disasarkan secara teliti.
Ia mengenakan cukai ke atas barangan dan perkhidmatan mewah, bukan keperluan asas. Pendekatan ini jauh lebih adil dan progresif.
“GST dahulu menekan semua lapisan rakyat tanpa mengira pendapatan. SST ini berbeza kerana ia bersifat bersasar dan bertimbang rasa.
“Rakyat biasa tidak terbeban dan kuasa beli mereka terus terpelihara,” menurut MOF.

Mesra Perniagaan dan Tidak Gopoh
Kerajaan turut mengambil pendekatan berhemah dan inklusif dalam pelaksanaan SST baharu ini.
Syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan tetapi belum mendaftar diberi masa sehingga Ogos 2025 untuk mendaftar dan hanya mula mengutip cukai pada September 2025. Tiada penalti dikenakan dalam tempoh penyesuaian ini.
Rakyat Dilindungi, Ekonomi Diperkukuh
MOF turut memaklumkan bahawa kerjasama erat akan diteruskan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bagi memantau harga dan memastikan tiada pencatutan.
Penegasan itu penting agar manfaat SST bersasar tidak dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

“SST ini adalah pelaburan sosial, bukan beban. Ia memperkukuh ekonomi negara tanpa menekan rakyat.
“Rakyat menikmati harga stabil, sementara negara memperoleh ruang fiskal untuk tahun 2026 dan 2027,” menurut kenyataan itu lagi.
Pelaksanaan SST baharu ini adalah bukti bahawa kerajaan MADANI komited terhadap dasar fiskal yang seimbang, berpandukan prinsip keadilan, keberkesanan dan kebertanggungjawaban.
Dengan hasil negara yang meningkat secara mampan dan telus, lebih banyak program kebajikan serta kemudahan awam dapat disediakan kepada rakyat.
Dalam erti kata lain, cukai ini bukan sekadar langkah ekonomi, tetapi manifestasi negara MADANI yang inklusif, saksama dan berdaya tahan demi masa depan yang lebih stabil dan sejahtera buat semua.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













