BERITA SEMASA

Nahas UPSI: Bas dipercayai langgar belakang MPV – Polis Perak

GERIK – Kemalangan maut membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi ini dipercayai berpunca daripada bas persiaran yang melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan awal mendapati bas tersebut disewa khas bagi membawa pelajar UPSI dari Terengganu pulang ke kampus di Tanjung Malim, Perak selepas cuti Aidiladha.

“Semasa kejadian, keadaan jalan adalah baik dan cuaca juga tidak hujan. Namun begitu, kawasan kejadian dikenal pasti sebagai laluan yang agak berliku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, keseluruhan 44 individu terlibat dalam nahas itu, terdiri daripada 42 pelajar UPSI, seorang pemandu dan seorang kelindan bas.

Selain itu, empat lagi mangsa yang menaiki MPV turut cedera dan sedang menerima rawatan di hospital.

“Semua mangsa yang cedera kini sedang dirawat di hospital berdekatan dan perkembangan lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sebelum itu, nahas tragis yang berlaku sekitar jam 1 pagi berhampiran Tasik Banding itu mengorbankan 15 nyawa pelajar UPSI dan mencederakan beberapa yang lain.

Pihak universiti telah menubuhkan bilik gerakan dan menyediakan talian hotline bagi menyelaras segala bentuk bantuan kepada keluarga mangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button