BERITA SEMASADALAM NEGERI

Nahas bas UPSI: Kerajaan Terengganu salur bantuan kepada keluarga mangsa

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Terengganu akan menggerakkan bantuan kepada waris keluarga mangsa yang terkorban dan cedera dalam nahas bas sewa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Terengganu, Datuk Dr. Satiful Bahri Mamat berkata, majoriti pelajar yang terlibat dalam nahas tersebut merupakan anak jati negeri Terengganu.

“Kerajaan Negeri memandang serius tragedi ini dan akan segera menggerakkan bantuan menyeluruh kepada waris mangsa, termasuk sokongan kebajikan, kaunseling serta khidmat psikososial.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding di Gerik, Perak awal pagi tadi. – Foto Media Sosial

“Jabatan dan agensi berkaitan telah diarahkan untuk menyelaras semua urusan bersama pihak universiti, hospital dan kerajaan Persekutuan bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara efisien dan menyeluruh.

“Kita komited memastikan setiap mangsa dan keluarga mereka menerima perhatian sewajarnya dalam tempoh sukar ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Dalam kejadian pukul 1 pagi tadi, 14 pelajar UPSI dan seorang kelindan disahkan maut apabila bas yang dinaiki mereka terbabas selepas melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna.

Dr. Satiful menyeru seluruh rakyat Terengganu serta masyarakat Malaysia bersama-sama mendoakan agar roh mangsa yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada serta orang yang beriman.

Pihak berkuasa kini sedang giat menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk aspek teknikal serta tahap keselamatan kenderaan yang terlibat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button