14 premis diarah tutup dalam pemantauan penyembelihan, penjualan daging
KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 premis di sekitar ibu negara diarahkan tutup serta-merta dalam Operasi Bersepadu selama tiga hari oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Operasi yang bermula pada 6 hingga 8 Jun itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Veterinar dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Ia melibatkan pemantauan terhadap kawasan tumpuan aktiviti penyembelihan dan penjualan daging.
Antara lokasi yang menjadi fokus ialah premis di sepanjang Jalan Silang, Jalan Berangan serta kawasan Pusat Perniagaan Bandar Utara.
“Pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan serius dilakukan, termasuk aktiviti melapah dan menjual daging lembu di lorong belakang oleh warga asing, melapah atas lantai kotor dan pembuangan sisa lemak serta darah ke dalam longkang.
“Turut dikesan ialah penyembelihan serta penjualan ayam hidup yang dilakukan secara terbuka dalam premis perniagaan yang menimbulkan kebimbangan dari sudut kesihatan awam dan kebersihan persekitaran,” kata DBKL dalam satu kenyataan.
Sementara itu, DBKL berkata, pasukan Task Force Korban turut digerakkan bagi mengurus permohonan sembelihan oleh wargakota demi memastikan kelancaran dan pematuhan dalam pelaksanaan ibadah korban.

Setakat ini, sebanyak 240 masjid dan surau telah mengemukakan permohonan rasmi kepada JAWI, manakala 11 permohonan diterima untuk penyembelihan di luar kawasan masjid atau surau, dengan 10 daripadanya telah diluluskan.
Setiap permohonan tertakluk kepada syarat dokumentasi lengkap termasuk Surat Kebenaran Pemilik Tanah, Surat Kesihatan Veterinar (SKV), Akuan Pindah Masuk (APM) dan Akuan Pindah Keluar (APK).
BACA : DBKL keluarkan 35 kompaun dalam operasi anti-litter sekitar Lorong Haji Taib, Jalan TAR
Lokasi yang diluluskan turut diberikan permit sembelihan sementara oleh Jabatan Veterinar dengan sokongan DBKL serta diberi taklimat berkenaan pematuhan tatacara sembelihan yang sah dari segi syarak dan peraturan kesihatan.
DBKL menegaskan komitmennya untuk memastikan tahap keselamatan makanan, kesihatan awam dan kebersihan bandar berada pada tahap tertinggi sepanjang musim ibadah korban demi kesejahteraan dan kebajikan warga kota Kuala Lumpur.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








