Kenaikan gaji penjawat awam harus selari dengan prestasi – PM Anwar
SHAH ALAM – Gaji dan elaun penjawat awam hanya akan dinaikkan jika prestasi penjawat awam sangat membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, sekiranya prestasi dalam projek pelaburan lambat, maka lambatlah kenaikan gaji dan elaun penjawat awam dapat dilaksanakan.
“Penjawat awam menjadi tunggak kepada kejayaan negara. Sebaik sahaja ekonomi pulih sedikit, sekarang pertumbuhan lebih baik daripada China, Indonesia dan Singapura. Kalau ini dapat diteruskan saya akan naikkan gaji dan elaun penjawat awam,” janjinya.
Anwar berkata demikian ketika sesi taklimat Perdana Menteri bersama penjawat awam Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz di sini, hari ini.
Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan, Selangor perlu dijadikan contoh selepas mencatat prestasi yang baik dan mahu ia dipertahankan sebagai kubu Kerajaan Perpaduan.
“Penjawat awam punya peranan kena terangkan bukan kerana sentimen atau jaminan upah, tetapi kerana anda yakin (Selangor) ini negeri yang mencatat kemajuan yang terbaik, selain daripada Sarawak.
“Walaupun prestasi Selangor sudah baik, ia mesti ditambah baik untuk dijadikan contoh. Bukan contoh air selut minum, contoh untuk rakyat itu penting. Ada juga catuan air di Selangor tetapi lebih baik berbanding Kedah Terengganu dan Kelantan,” katanya.
Tambah Anwar, beliau juga memberi kuasa penuh kepada penjawat awam untuk memberi satu mesej sangat jelas dalam memerangi amalan ‘mencuri’ duit rakyat.
“Saya tidak mahu tolak ansur, kerana pemimpin negara lalu yang rosak kerana roboh dan tamak haloba curi duit rakyat.
“Jika ada projek yang besar, saya lihat penjawat awam kita berkemampuan tidak perlu lagi melalui konsultan, bila ada projek ratusan juta ringgit, masuk tender tiada lagi perbincangan atau rundingan tepi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








