Anwar ulang pendirian tidak ambil gaji
SHAH ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi pendirian untuk tidak mengambil gaji.
Menurut Perdana Menteri, beliau tidak akan mengambil gaji sehingga ekonomi di negara ini kembali pulih.
“Saya pun nak pulih (ekonomi) cepat sebab boleh saya ambik gaji saya balik.
“Selama enam bulan ini, selagi ekonomi belum pulih saya tidak akan ambil gaji,” katanya ketika sesi taklimat Perdana Menteri bersama penjawat awam Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz di sini, hari ini.
Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, subsidi bersasar perlu dilaksanakan bagi memulihkan ekonomi ‘rosak’ yang diwarisi daripada pimpinan terdahulu.
“Mengapa harus naik? Kerana kalau tidak naik dia akan meningkat kepada RM30 billion subsidi, kerajaan tidak mampu.
“Ada orang bangkitkan Anwar sudah tarik balil subsidi tabung haji. Orang haji mana saya tarik? Yang paling kaya. Yang gaji RM20,000 sebulan ada yang gaji RM50,000 masih diberi subsidi ada dalam rekod. Nak pergi haji mahu haji mabrur..bayarlah.
“Tapi yang lain b40, m40 masih sama subsidi haji seperti dahulu. Kena faham kerana kita warisi sistem ekonomi yang sudah rosak,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun itu turut menegaskan tidak akan menambah hutang negara, sebaliknya beliau bertekad mahu mengurangkannya.
“Dalam keadaan belanjawan berlebih, bayar hutang-hutang semua, tumpu bidang kesihatan, pendidikan, prasarana luar bandar, kita dalam keadaan berhutang RM1.5 trilion.
“Nasib saya, setelah bertarung sekian lama sampai sudah jadi kakitangan penjara Sungai Buloh kemudian diberi amanah, tapi ujian besar hutang RM1.5 trilion.
“Saya boleh seperti mana yang dijawab mantan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan terdahulu pinjam lagi, ada bon.
“Tapi yang nak bayar siapa? Yang nak bayar itu anak-anak kita. Apa yang akan jadi pada negara bila ada pimpinan yang rasa dia ada masalah, yang ni nak dekat pilihan raya, belanja sebanyak mungkin, hutang sebanyak mungkin. Itulah sebab pengurusan ekonomi meleset.
“Oleh itu, saya tidak mahu hutang bertambah, kita harus kurangkan hutang,” tegasnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








