Jemaah cuba tunaikan haji tanpa laluan sah meninggal dunia di gurun
RIYADH — Seorang jemaah warga Indonesia dilaporkan meninggal dunia akibat dehidrasi selepas terkandas di kawasan gurun Al-Jumum, Arab Saudi.
Menurut laporan Tempo.co mangsa dipercayai dalam cubaan memasuki Mekah melalui laluan tidak sah untuk menunaikan ibadah haji.
Konsulat Jeneral Indonesia di Jedah, Yusron Ambary memaklumkan individu dikenali sebagai SM terkandas di kawasan gurun Al-Jumum bersama dua lagi rakyat Indonesia, masing-masing dikenali sebagai J dan S.
“Ketiga-tiga mereka memasuki Mekah tanpa melalui saluran sah yang dibenarkan untuk jemaah haji.
“Difahamkan, SM dan dua rakannya memiliki visa lawatan berganda, yang membolehkan mereka memasuki Arab Saudi dalam tempoh tertentu, namun visa tersebut tidak sah digunakan untuk tujuan menunaikan haji,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Yusron, sebelum insiden tersebut, SM bersama 10 lagi warga Indonesia pernah ditahan oleh pihak berkuasa keselamatan Arab Saudi dalam satu pemeriksaan rutin semasa musim haji. Kesemua mereka kemudiannya dihantar pulang ke Jedah.
“Namun begitu, SM bersama dua individu lain, J dan S, dipercayai tetap meneruskan usaha untuk memasuki kota suci Mekah dengan mengambil jalan alternatif melalui laluan padang pasir yang tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa.
“Ketiga-tiga mereka dipercayai menggunakan khidmat pemandu teksi haram yang menjanjikan laluan masuk ke Mekah secara tidak sah. Namun, akibat bimbang ditahan pihak berkuasa, pemandu tersebut bertindak meninggalkan mereka di tengah padang pasir.
“Dalam suhu yang mencecah paras ekstrem, mereka ditinggalkan begitu sahaja, sehingga mengancam nyawa,” jelas Yusron.
Pasukan keselamatan Arab Saudi mengesan ketiga-tiga mereka menggunakan dron pengawasan dan berjaya menemui lokasi mereka di tengah padang pasir.
SM bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua rakannya dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Ketika ini, jenazah SM berada di hospital di Mekah dan sedang melalui proses dokumentasi visa untuk tujuan pengebumian.
“Kami telah menghubungi keluarga SM di Madura dan bersedia untuk membantu menguruskan proses pengkebumian,” jelasnya.
Beliau mengingatkan warga Indonesia agar tidak terpengaruh dengan tawaran atau jalan pintas untuk menunaikan ibadah haji yang tidak sah dari segi undang-undang dan prosedur yang ditetapkan.
“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang menjanjikan jalan pintas ke Tanah Suci. Tindakan ini bukan sahaja melanggar peraturan, tetapi turut mengancam nyawa,” tegas beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








