BERITA SEMASA

Tokoh korporat dan veteran politik, Megat Najmuddin meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Tokoh korporat dan veteran politik, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas meninggal dunia akibat kanser pada usia 81 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya, lewat malam tadi.

Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh ahli keluarga terdekat, Shafinaz Suhaimi, menurut laporan Bernama.

Terdahulu, berita duka itu turut dikongsikan oleh anak saudaranya, Puteri Kamaliah Megat Abu Bakar menerusi hantaran di Facebook.

Menurut keluarga, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada pukul 9 pagi tadi bagi urusan pengurusan jenazah dan solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Megat Najmuddin
Sebahagian ahli keluarga Allahyarham yang hadir ketika pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Allahyarham Megat Najmuddin merupakan figura berpengalaman dalam bidang politik dan korporat.

Dalam arena politik, beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelana Jaya, Selangor selama dua penggal bermula 1986, selain pernah dilantik sebagai Anggota Lembaga Disiplin UMNO serta Pengerusi Lembaga Tatatertib Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Di peringkat korporat, Allahyarham turut memegang beberapa jawatan utama termasuk Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas Farm Fresh Berhad, Pengerusi Asian Pac Holdings Berhad serta Pengerusi Bukan Eksekutif dan Bukan Bebas Sime Darby Plantation Berhad.

Sementara itu Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada parti dan negara.

“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar khususnya atas sumbangan, kebijaksanaan serta ketegasan beliau dalam menegakkan disiplin dan prinsip perjuangan.

“Allahyarham dikenali sebagai seorang tokoh berintegriti, berpengalaman dan sentiasa mendahulukan kepentingan parti serta rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button