DPMM intai Akhyar Rashid, sasar perkukuh skuad Liga Super 2025/2026
KUALA LUMPUR – Kelab Brunei DPMM FC kini dalam rundingan bersama Terengganu FC untuk mendapatkan khidmat pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid bagi menghadapi musim pertama mereka dalam saingan Liga Super Malaysia 2025/2026.
Pemain berusia 26 tahun itu, yang sebelum ini beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), menyertai Terengganu pada awal tahun ini dan dijangka menjadi elemen penting dalam memperkuatkan jentera serangan DPMM menerusi kepantasan serta kreativiti dimilikinya.
Dalam kenyataan rasmi kelab, DPMM memaklumkan proses rundingan bersama Terengganu dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada persiapan membina skuad kompetitif menjelang musim baharu.
Selain Akhyar, DPMM turut mengesahkan telah menandatangani pemain pertahanan kiri Penang FC, Fairuz Zakaria dalam usaha memperkukuh barisan pertahanan.
Kelab itu turut mengumumkan kehadiran penyerang kebangsaan Indonesia, Ramadhan Sananta yang dipilih sebagai pemain kuota ASEAN. Ramadhan dilaporkan menolak beberapa tawaran daripada kelab gergasi Indonesia untuk menyertai DPMM dan dijangka tiba di Brunei bersama keluarganya pada Julai untuk sesi latihan pra-musim sejurus tamat Piala Singapura.
Turut menjadi sasaran DPMM ialah penyerang prolifik Liga Singapura, Tomoyuki Doi dari Jepun yang dijangka memperkuatkan barisan serangan kelab tersebut.
Di bahagian pertahanan, kelab berkenaan kini dalam perbincangan dengan pertahanan Filipina, Christian Rontini atau Yasir Ali yang kini beraksi di Thai League 1 bersama Nongbua Pitchaya.
Kemasukan beberapa pemain import dan tempatan berkualiti menjadikan DPMM antara pasukan yang dijangka memberi cabaran sengit kepada kelab-kelab Malaysia dalam saingan Liga Super musim depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


















