BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kes Zayn Rayyan: Keputusan ibu bapa diperintah bela diri atau dibebaskan 21 Julai

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini akan memutuskan pada 21 Julai ini sama ada ibu dan bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin akan dipanggil untuk membela diri atau dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka yang juga merupakan kanak-kanak autisme.

Keputusan itu akan diumumkan oleh Hakim Dr. Syahliza Warnoh selepas mendengar keterangan daripada 28 orang saksi sepanjang 20 hari prosiding berlangsung.

Dalam penghujahan bertulis setebal 127 muka surat yang difailkan pada 23 Mei lalu, pihak pembelaan menegaskan tiada elemen niat bersama dalam pengabaian seperti yang dituduh terhadap pasangan suami isteri tersebut, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.

Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan, Ismanira dan Zaim Ikhwan. – Gambar fail

Menurut hujahan itu, Ismanira sentiasa peka dan prihatin terhadap anaknya termasuk menggunakan deria pendengaran sebagai kaedah pemantauan terhadap Zayn Rayyan memandangkan keperluan khas yang dimiliki oleh kanak-kanak berkenaan.

Peguam juga berhujah bahawa reaksi Ismanira yang menangis ketika mayat anaknya ditemukan pada 6 Disember 2023 adalah konsisten dengan kelakuan seorang ibu yang tidak bersalah.

Ia turut disokong oleh keterangan saksi pendakwaan keempat (SP4), yang menyatakan Ismanira sebelum itu giat mencari Zayn Rayyan dan telah membuat laporan polis sehari sebelumnya.

Turut menyokong ialah keterangan saksi pendakwaan ke-16 (SP16), yang melihat Ismanira dalam keadaan berpeluh-peluh sedang mencari anaknya dari dua arah berlainan.

BACA : Doktor pakar sahkan Zayn Rayyan mati dijerut, telinga dipotong, dubur dimasukkan objek tumpul

“Kami percaya pihak pembelaan telah menimbulkan banyak keraguan dalam kes pendakwaan.

“Justeru, kami dengan rendah diri memohon agar kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri,” kata kenyataan pembelaan itu.

Setakat ini, pendakwaan telah menutup kes mereka selepas memanggil saksi-saksi utama termasuk pegawai penyiasat, jiran tertuduh dan pihak perubatan.

Tumpuan kini terarah kepada keputusan 21 Julai ini yang bakal menentukan sama ada perbicaraan diteruskan atau tertuduh dibebaskan sepenuhnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button