JENAYAH & MAHKAMAH

Doktor pakar sahkan Zayn Rayyan mati dijerut, telinga dipotong, dubur dimasukkan objek tumpul

PETALING JAYA – Kematian kanak-kanak austism, Zayn Rayyan Abdul Matin yang mayatnya ditemui di sebuah anak sungai berhampiran Apartmen Idaman, Damansara Damai pada Disember 2023 disahkan akibat jerutan kuat pada leher mangsa.

Pakar Perubatan Perunding Forensik, Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang, Johor, Dr. Rohayu Shahar Adnan menjelaskan perkara itu ketika perbicaraan kes pengabaian mangsa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin

Menurut beliau, terdapat juga luka potongan dan hirisan pada telinga selain benda asing ditemui pada rongga tekak pernafasan sebelah kanan dan dalam perut si mati.

“Lelangit si mati turut lebam menunjukkan benda asing dimasukkan atau ditolak secara paksa ke dalam mulut.

“Walaupun begitu benda asing ini tidak membawa kepada kematian kerana si mati bukannya tercekik akibat kemasukan benda asing (choked to death).

“Di bahagian dubur si mati terdapat luka-luka koyak dan lelasan akibat kemasukan objek tumpul, luka hirisan pada lengan kanan atas dan luka hirisan pada lengan bawah kanan,” katanya dalam pernyataan saksi, memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-27 berkata, dapatan itu diperoleh hasil bedah siasat ketika bertugas di Hospital Sungai Buloh, pada pukul 12 tengah hari, 7 Disember 2023.

Menurutnya lagi, kecederaan si mati adalah kecederaan ‘perimortem’ atau kecederaan baru sejurus sebelum kematian kerana terdapat kesan reaksi sistem pertahanan badan (vital reaction) yang dapat dilihat melalui pemeriksaan mikroskopik.

“Tiada penyakit serius pada organ dalaman yang ditemui. Jerutan di leher yang melebamkan otot leher dan kelenjar tiroid menunjukkan ia cukup kuat sehingga menyekat kemasukan oksigen untuk ke paru-paru dan otak yang melemaskan si mati mengakibatkan kematian.

“Dengan ini, saya simpulkan sebab kematian ‘Ligature Strangulation’ (jerut),” katanya.

Jelas beliau, semasa proses bedah siasat itu dilakukan, ia turut dihadiri oleh Pegawai Penyiasat, Asisten Superitendan Mohd. Nasir Mustapha.

Pemeriksaan luaran ketika itu menunjukkan satu mayat kanak-kanak lelaki yang berpakaian seragam sekolah dengan lampin pakai buang berketinggian 119 sentimeter (cm) dan berat badan 17.2 kilogram (kg).

“Jasad si mati (ketika bedah siasat) telah mula membusuk menunjukkan warna kulit yang kehijauan, kulit mengelupas dan abdomen yang mengembung.

Lokasi di mana mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran kediamannya.

“Kesan rendaman iaitu kulit yang berkedut-kedut diistilahkan sebagai ‘washerwoman appearances’ terlihat pada kedua-dua tangan dan kaki si mati.

“Kedutan pada kulit tapak tangan dan kaki seperti yang dinyatakan di atas iaitu ‘washer womanappearance’ hanya menunjukkan sentuhan atau rendaman air bukannya punca kematian kerana si mati tidak mati lemas di dalam air,” kata pernyataan saksi itu lagi.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan pihak pendakwaan mengenai punca jerutan dileher si mati, saksi itu menjelaskan bahawa dari segi perubatan forensik ada perbezaan di antara jerutan dan gantung.

Ujarnya, kesan jerutan (si mati) ‘horizontal’ (melintang) dan ia adalah sama iaitu enam sentimeter di bawah telinga kanan dan kiri dan jerutan terhasil oleh sebarang objek yang boleh dibentuk contohnya, tali, lanyard atau kain yang dipintal.

“Berbeza dengan gantung ialah kesan ‘oblique’ (serong) kerana gantung adalah proses pasif makanya sebarang objek yang dibentuk dikeliling leher ianya akan diketatkan oleh berat badan si mati dan tarikan graviti,” jelasnya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi esok.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button