Nasib ibu bapa Zayn Rayyan ditetapkan esok
PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini bakal menentukan sama ada ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, dibebaskan atau perlu membela diri atas pertuduhan mengabaikan anak mereka, esok.
Keputusan di akhir kes pendakwaan itu dijadual dibacakan oleh Hakim Dr Syahliza Warnoh pada jam 9 pagi.
Sekiranya pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, kedua-duanya berusia 30 tahun, akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan.
Bagaimanapun, jika mahkamah mendapati terdapat asas kukuh bagi pertuduhan tersebut, kedua-dua tertuduh akan diperintah untuk membela diri.
Mahkamah turut akan memberikan tiga pilihan kepada tertuduh iaitu memberi keterangan bersumpah dan disoal balas oleh pendakwaan; memberi keterangan tanpa bersumpah dan tidak disoal balas; atau berdiam diri tanpa mengemukakan sebarang pembelaan.
Tidak mustahil juga hanya salah seorang daripada pasangan itu diperintah membela diri, manakala seorang lagi dibebaskan.
Pada 13 Jun 2024, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan, 6, sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, bermula jam 12 tengah hari pada 5 Disember hingga 9.55 malam keesokan harinya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia pada 6 Disember 2023, di anak sungai berhampiran blok pangsapuri mereka, kira-kira 200 meter dari kediaman keluarga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






