JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Rayn Zayn : Pasangan tukar peguam pembelaan

PETALING JAYA – Peguam Fahmi Abd Moin tidak lagi mewakili pasangan ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin, kanak-kanak autisme yang terlibat dalam kes pertuduhan pengabaian.

Perkara itu dimaklumkan kepada media dalam prosiding di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Dalam prosiding yang dijalankan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh, dua peguam baharu, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris mengesahkan mereka kini mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf.

“Kami baharu sahaja menerima arahan lantikan daripada anak guam semalam. Bagaimanapun, tiada alasan diberikan mengenai perubahan pasukan pembelaan,” kata Ramzani.

Haresh pula memaklumkan bahawa pihak pembelaan sedang meneliti dokumen berkaitan kes tersebut.

Menurutnya, anak guam mereka berhasrat membersihkan nama daripada tuduhan tersebut.

Dalam prosiding sama, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.

Pasangan terbabit tiba di mahkamah pada pukul 8.49 pagi untuk menghadiri prosiding berhubung permohonan representasi bagi menarik balik atau membatalkan pertuduhan terhadap mereka.

Bagaimanapun, peguam Fahmi Abd Moin tidak kelihatan bersama mereka.

Mahkamah sebelum itu menetapkan 6 Disember sebagai tarikh untuk perkembangan representasi bagi menggugurkan kes tersebut.

Sebelum itu pembelaan memaklumkan akan menghantar permohonan untuk menyemak kes dalam masa terdekat.

Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan, 6, yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan tersebut didakwa berlaku di sekitar jalan PJU Damansara Damai pada 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari hingga 9.55 malam keesokan harinya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM50,000, dipenjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah akan mendengar perkembangan kes pada tarikh yang ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button