Nik Nazmi rasmi pembukaan Nasken Coffee di Putrajaya, meskipun bercuti
PUTRAJAYA – Meskipun sedang bercuti, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad tetap hadir memenuhi jemputan untuk merasmikan pembukaan cawangan ke-43 Nasken Coffee di Presint 15, Putrajaya hari ini.
Dalam ucapannya, Nik Nazmi memuji pendekatan profesional dan cita-cita tinggi pasukan Nasken yang berjaya membina jenama tempatan yang kompetitif serta mampu berdiri sama tinggi dengan syarikat besar lain.
“Setiap kali saya pulang ke Kelantan, saya lihat jenama-jenama seperti Nasken cukup kuat. Tapi yang lebih mengagumkan ialah bagaimana mereka kembangkan jenama ini seperti syarikat multinasional tersusun, berani dan penuh semangat,” katanya.

Nik Nazmi turut menyatakan bahawa kejayaan Nasken adalah simbol kekuatan dan potensi usahawan muda Malaysia yang tidak hanya berniaga untuk keuntungan, tetapi berusaha membina kekuatan ekonomi bangsa dan negara.
“Ini bukan usaha main-main. Mereka benar-benar fokus, dan saya percaya anak muda seperti ini mampu membawa jenama Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Nik Nazmi secara berseloroh menyatakan minat untuk menyertai perniagaan kafe kopi setelah menghabiskan baki cuti susulan perletakan jawatannya secara rasmi pada 4 Julai.
“Saya difahamkan Nasken sedang berkembang dengan rancak dan bercadang nak disenaraikan di Bursa Malaysia. Lepas habis cuti nanti, saya pun rasa nak buka satu francais Nasken,” katanya secara berseloroh.
@malaysiatribune Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad secara berseloroh menyatakan minat untuk menyertai perniagaan kafe kopi setelah menghabiskan baki cuti. Beliau yang bakal melepaskan jawatannya secara rasmi pada 4 Julai ini, hadir merasmikan pembukaan cawangan ke-43 Nasken Coffee di Presint 15, Putrajaya hari ini. #malaysiatribune #nasken #coffee
Baca juga : Nik Nazmi turut umum letak jawatan sebagai menteri
Jenama tempatan, cita-cita global
Nasken International Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 2019 oleh Mohd Nazif Ab Aziz dengan matlamat membawa cita rasa warisan Malaysia dalam suasana kontemporari dan mesra pelanggan.
Bermula dengan hanya satu cawangan, jenama ini kini berkembang ke seluruh negara dengan 43 cawangan beroperasi dan sasaran untuk membuka 43 lagi menjelang akhir 2025.
Syarikat tersebut turut merancang penyenaraian di Bursa Malaysia pada 2026 sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan ke pasaran serantau termasuk ASEAN dan Timur Tengah.

Pengasasnya, Mohd Nazif dalam ucapannya berkata pembukaan cawangan ke-43 ini bukan sekadar penambahan angka, tetapi lambang kepercayaan masyarakat terhadap jenama tempatan yang konsisten dan berkualiti.
“Kami percaya Nasken bukan sekadar kopi. Ia tentang membina komuniti, mencipta pengalaman dan menyatukan semangat anak Malaysia di bawah satu jenama,” katanya.
Sempena pembukaan cawangan baharu ini, Nasken turut menawarkan promosi diskaun 50 peratus bagi menu terpilih di semua cawangannya di seluruh Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















