Malaysia sertai Mesyuarat Menteri APT 2025 di Tokyo – Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR – Malaysia komited memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang telekomunikasi dan teknologi maklumat menerusi penyertaan dalam Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecommunity (APT) 2025 yang berlangsung di Tokyo, Jepun.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penyertaan Malaysia dalam mesyuarat tersebut mencerminkan tekad negara untuk terus mendukung pembangunan digital yang inklusif, mampan dan selamat di rantau Asia Pasifik.
“Saya berbesar hati mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Menteri APT 2025 bersama negara-negara anggota bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam sektor telekomunikasi dan teknologi maklumat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut Fahmi, mesyuarat itu merupakan platform penting bagi merangka dasar serta strategi bersama khususnya dalam memperkasa transformasi digital rantau ini.
“Mesyuarat ini juga menjadi pentas kerjasama pelbagai hala di rantau paling pesat membangun dari segi teknologi selain menyokong negara-negara membangun dalam aspek teknikal, kapasiti dan kawal selia ICT,” katanya.
Tambah beliau, komitmen bersama dalam mesyuarat itu turut mencerminkan usaha berterusan negara-negara Asia Pasifik ke arah pembangunan digital yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
APT merupakan organisasi antara kerajaan yang ditubuhkan pada 1979 menerusi kerjasama antara United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP) dan International Telecommunication Union (ITU), bertujuan menyelaras isu-isu berkaitan ICT di peringkat serantau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








