Kebakaran hutan Manitoba: Lebih 17,000 dipindahkan, Kanada isytihar darurat
WINNIPEG – Kerajaan Wilayah Manitoba mengisytiharkan darurat semalam selepas kebakaran hutan yang marak mengancam beberapa komuniti utama, memaksa lebih 17,000 penduduk dipindahkan secara besar-besaran dalam operasi yang disifatkan sebagai paling mencabar.
Kebakaran yang bermula di wilayah Saskatchewan itu kini merebak ke bahagian utara Manitoba menghampiri bandar perlombongan Flin Flon, yang menempatkan kira-kira 5,000 penduduk.
Difahamkan, api kini berada kurang dari dua kilometer dari sempadan bandar tersebut.
Wakil rakyat wilayah Manitoba, Wab Kinew, dalam satu sidang media mengumumkan permohonan rasmi telah dihantar kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, untuk mendapatkan bantuan ketenteraan bagi mempercepatkan proses pemindahan dan logistik di kawasan terjejas.
“Kebakaran ini bukan sahaja mengancam nyawa dan harta benda, malah menguji kemampuan seluruh sistem kecemasan negara.
“Kami telah mengaktifkan semua sumber yang ada, termasuk bantuan ketenteraan, bagi memastikan keselamatan penduduk,” katanya.

Sementara itu, penduduk Flin Flon telah diarahkan keluar sepenuhnya sebelum tengah malam tadi melalui Lebuhraya 10, satu-satunya laluan utama yang menghubungkan bandar tersebut ke kawasan selamat.
Dalam masa yang sama, kira-kira 1,200 penduduk dari kawasan berdekatan di Creighton, Saskatchewan turut diarah berpindah bagi mengelakkan risiko terperangkap dalam kebakaran.
Salah satu daripada kebakaran utama yang ditanda sebagai WE017 dilaporkan telah membakar lebih 40,000 hektar tanah berhampiran Sherridon, manakala keseluruhan kawasan kebakaran aktif di Manitoba kini melepasi 100,000 hektar.

Dua terbunuh, 28 bangunan musnah
Dalam kejadian berasingan di kawasan Lac du Bonnet, dua nyawa terkorban apabila kebakaran memusnahkan sekurang-kurangnya 28 bangunan, termasuk rumah dan bangunan pertanian.
Pihak berkuasa menjangkakan angka korban meningkat sekiranya cuaca kering dan angin kencang berterusan dalam beberapa hari akan datang.
Sepanjang tahun ini, pihak berkuasa telah merekodkan lebih 100 kebakaran hutan di Manitoba, melebihi purata tahunan sebanyak 77 kebakaran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








