Malaysia, Korea Selatan rintis kerjasama strategik dalam teknologi jalan dan ITS
Melalui forum di Suwon, kedua-dua negara rancang inisiatif strategik termasuk MoU pembinaan, seminar teknologi jalan dan hala tuju ITS Roadmap 2030
SUWON – Malaysia dan Korea Selatan komited untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pembinaan, pembangunan jalan raya serta sistem pengangkutan pintar menerusi beberapa inisiatif strategik yang sedang dirangka antara kedua-dua negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu dibincangkan semasa kunjungan hormat beliau terhadap Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea, Park Sang Woo, sempena penyertaan Malaysia dalam Forum Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Asia Pasifik 2025 di Suwon.
“Kunjungan ini adalah susulan kepada mesyuarat dua hala yang telah diadakan pada November tahun lalu di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca juga : Malaysia belajar dari pengalaman Korea Selatan modenkan lebuh raya pintar
Menurut beliau, berdasarkan hala tuju kerjasama yang telah dipersetujui, kedua-dua negara telah menganjurkan Seminar Kerjasama Teknologi Jalan dan Pembinaan, yang berjaya menghimpunkan lebih 130 peserta termasuk wakil agensi kerajaan dan industri dari kedua-dua negara.
“Seminar ini mencerminkan komitmen bersama terhadap inovasi dan pembangunan infrastruktur yang berdaya saing dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya.
Alexander berkata perbincangan turut menyentuh mengenai kemajuan rundingan Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pembinaan antara Malaysia dan Republik Korea.
“Rundingan pusingan pertama telah diadakan di Kuala Lumpur pada 16 April lalu, manakala pusingan kedua berlangsung pada 29 dan 30 Mei di Suwon,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua pihak berharap MoU itu dapat dimuktamadkan dan ditandatangani sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober 2025.
“Saya percaya kerjasama strategik ini akan membuka peluang luas dalam aspek pemindahan teknologi, peningkatan keupayaan serta pembangunan infrastruktur yang lebih cekap, selamat dan mampan di Malaysia.”
Beliau turut menegaskan bahawa usaha ini selari dengan hala tuju Malaysian ITS Roadmap 2030, yang memberi tumpuan kepada mobiliti masa hadapan yang pintar, inklusif dan berdaya tahan.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada TYT Yeo Seung-Bae, Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, serta seluruh warga Kedutaan Korea di Malaysia atas sokongan padu terhadap pelbagai inisiatif kerjasama yang sedang dirintis.
“Malaysia amat menghargai hubungan erat dengan Republik Korea dan akan terus komited dalam menjalin kerjasama yang membawa manfaat bersama kepada rakyat dan negara kedua-dua pihak,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








