BERITA SEMASA

Kerajaan peruntuk RM350 juta naik taraf Jalan Raya Timur Barat

CYBERJAYA – Kerajaan memperuntukkan RM350 juta bagi menaik taraf Jalan Raya Timur Barat (JRTB) melibatkan jajaran Perak, laluan sama di mana berlakunya nahas bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Jun tahun lalu.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja awalan untuk projek berkenaan dijangka bermula tahun ini dan berharap sebahagiannya mula dilaksanakan secara fizikal tahun depan, lapor BERNAMA.

“Dalam RM350 juta ini, kami akan gunakan RM170 juta di 17 lokasi, satu lokasi RM10 juta untuk kami lebarkan jalan sebagai lorong memotong. Jadi, dah dikenal pasti ada 17 lokasi, ini akan membantu menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya nanti.

“Itu perancangan kami dan peruntukan kewangan yang kami dah dapat, memang kami akan memohon tambahan sekiranya ada keperluan,” katanya dalam sidang media ketika melawat JRTB termasuk lokasi nahas berkenaan.

Pada 9 Jun tahun lalu, seramai 15 pelajar UPSI maut apabila bas dinaiki mereka dari Jerteh, Terengganu ke Kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Alza di KM53 JRTB (Jeli-Gerik), Perak.

Daripada jumlah itu, 13 mangsa disahkan maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia sewaktu dirawat di hospital.

Dalam pada itu, Nanta berkata, kira-kira RM40 juta juga diperuntuk bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan JRTB membabitkan jajaran di Perak sepanjang tahun ini sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Beliau berkata, peruntukan itu melibatkan pelaksanaan pelbagai kerja penyenggaraan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi, termasuk pembaikan permukaan jalan, pemasangan kemudahan keselamatan serta penambahbaikan pencahayaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button