BERITA SEMASA

Rafizi harap reformasi pendidikan kekal di RMK-13

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri diharapkan dapat mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), demikian harapan Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengumumkan peletakan jawatannya semalam.

Rafizi berkata, RMK-13 digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh termasuk beberapa reformasi struktur yang membabitkan Kementerian Pendidikan.

“Saya yakin program untuk membaiki struktur ekonomi negara yang dipelopori oleh Kementerian Ekonomi akan terus dilaksanakan dengan jaya oleh penjawat-penjawat awam.

“Amanah terakhir saya sebagai Menteri Ekonomi sudah disempurnakan dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen dalam sidang yang seterusnya,” katanya.

Baca juga : Rafizi umum letak jawatan

Ahli Parlimen Pandan itu turut berkata, perjalanan untuk menjadikan struktur ekonomi negara lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah masih jauh.

“Oleh itu, kita wajar terus mengambil keputusan yang baik untuk jangka panjang, walaupun keputusan itu sukar dan berliku, demi generasi masa hadapan,” katanya.

Rafizi dalam satu kenyataan semalam mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi dan sudah menghantar surat peletakan jawatan dari Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut mengikut jejak langkahnya, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada perdana menteri, berkuat kuasa pada 4 Julai depan.

Anwar kemudian memaklumkan sudah menerima kedua-dua surat berkenaan dan bersetuju untuk meluluskan permohonan curi kedua-dua menteri tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button