Keputusan penuh insiden letupan paip gas Putra Heights dibentang hujung Jun – Ketua Polis Selangor
SEPANG – Laporan penuh mengenai insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu dijangka dibentang pada penghujung bulan depan, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Menurut beliau, laporan tersebut sedang disediakan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dibantu oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM).
“Siasatan berkaitan unsur kecuaian dan khianat telah pun selesai. Namun, dapatan penuh masih menunggu laporan akhir JKKP yang turut dibantu oleh SIRIM,” katanya pada sidang media hari ini.
Tambah beliau, lima spesimen telah berjaya dikeluarkan dari lokasi kejadian yang berakhir pada 8 Mei lalu dan kini sedang dianalisis oleh pihak JKKP bagi menentukan punca sebenar insiden.
“Analisis terhadap spesimen ini sangat penting untuk mengenal pasti punca kejadian,” jelasnya.
Mengulas mengenai jentera eskavator yang terbenam akibat letupan, Hussein berkata, kerja-kerja mengeluarkan jentera tersebut masih belum dilakukan kerana proses menstabilkan tanah sedang giat dijalankan.
“Kita sudah kenal pasti lokasi jentera itu, namun pengeluarannya akan dibuat pada masa yang sesuai selepas kerja-kerja pemulihan selesai.
“Walaupun ia bukan keutamaan buat masa ini, namun ia tetap relevan dalam siasatan keseluruhan,” katanya.
Insiden letupan yang berlaku pada awal April lalu mencetuskan kebimbangan awam apabila api marak di kawasan pembinaan berhampiran saluran paip gas utama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








