Projek perumahan di Lenggeng gagal siap, pembeli tertekan sudah bayar RM150,000 deposit
SEREMBAN – “Saya sudah bayar RM150,000 sebagai deposit, tetapi rumah yang dijanjikan masih belum siap,” luah seorang pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Zahirah, 60, berhubung projek perumahan di sebuah taman perumahan di Lenggeng, di sini yang masih belum menunjukkan perkembangan positif.
Menurutnya, projek tersebut hanya siap sekitar 47 peratus dan pemaju gagal menepati janji untuk menyerahkan kunci rumah seperti dijadualkan.
“Saya terpaksa menanggung sewa rumah RM1,500 sebulan, selain sudah mula membayar ansuran bank sebanyak RM1,200 sejak empat bulan lalu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Seorang lagi pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Fadzir, 35, turut meluahkan kekecewaan apabila kerja pembinaan yang disambung semula sejak hujung Mac lalu didakwa terlalu perlahan dan tidak menepati jangkaan.
“Apa sebenarnya punca konflik antara pemaju dan kontraktor utama hingga menyebabkan projek ini tergendala?
“Kami difahamkan masih ada isu komersial antara kedua-dua pihak yang belum diselesaikan. Masalah ini telah berlarutan terlalu lama tanpa penyelesaian konkrit,” katanya.
Baca juga : 89 projek perumahan sakit berjaya dipulihkan, KPKT terus komited tangani isu perumahan terbengkalai
Fadzir turut menuntut agar pemaju memberikan tarikh baharu yang jelas untuk penyambungan semula kerja-kerja pembinaan dan menyediakan laporan kemajuan bulanan agar pembeli dapat memantau perkembangan secara berterusan.
“Memang ada kerja pembinaan semula sejak hujung Mac, tetapi kadar kemajuannya terlalu perlahan dari April hingga sekarang. Kami bimbang projek ini tidak akan siap menjelang Mac 2026 seperti dijanjikan,” tambahnya.
Sementara itu, para pembeli turut merayu campur tangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membantu menyelesaikan isu yang membelenggu mereka.
Difahamkan, projek ini telah pun mendapat perhatian dan campur tangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin, dengan para pembeli berharap agar perkembangan positif dapat dicapai dan pemaju dapat menyegerakan penyiapan projek tersebut.
“Jika tiada perkembangan positif atau tindakan tegas daripada pihak pemaju, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,” kata seorang pembeli yang enggan dikenali.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








