KPKT serah dokumen MyKiosk kepada SPRM, tegas komited jaga ketelusan
PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini mengambil langkah proaktif dengan menyerahkan dokumen berkaitan pelaksanaan Projek MyKiosk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai komitmen terhadap prinsip ketelusan dan integriti.
Langkah itu diambil susulan aduan yang diterima daripada pihak tertentu berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan dalam pelaksanaan projek berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dalam kenyataan hari ini berkata, KPKT tampil secara sukarela menyerahkan dokumen tanpa sebarang permintaan rasmi daripada pihak SPRM setakat ini.
“KPKT sentiasa komited untuk memastikan setiap inisiatif kerajaan dilaksanakan dengan penuh integriti. Dengan penyerahan dokumen ini, kami berharap ia dapat memberi keyakinan kepada rakyat bahawa pelaksanaan projek adalah telus dan mengikut prosedur yang betul,” katanya.
Menurutnya, tindakan tersebut adalah bukti komitmen kementerian dalam memperkukuh tadbir urus dan pengurusan program, selain memastikan tiada unsur salah guna kuasa mahupun penyelewengan dalam pelaksanaan MyKiosk yang bertujuan memanfaatkan penjaja kecil di seluruh negara.
Tambahnya, kementerian juga telah menyalurkan maklumat terperinci berkaitan inisiatif MyKiosk melalui saluran media sosial rasmi yang boleh diakses oleh orang awam.
Menurut beliau, semua proses pelantikan kontraktor bagi projek berkenaan dilakukan oleh 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) dibuat menerusi sebut harga terbuka, melibatkan pelantikan seramai 795 kontraktor di seluruh negara.
“Kos siling bagi MyKiosk 2.0 adalah sebanyak RM25,000 seunit dan harga yang ditetapkan adalah munasabah. Ia membolehkan kontraktor bersaing secara adil melalui proses perolehan yang telus di peringkat PBT,” katanya lagi.
Dalam pada itu, KPKT turut menjelaskan bahawa semua peruntukan berkaitan projek berkenaan telah disenaraikan dalam inisiatif Belanjawan dan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan mengikut prosedur sedia ada.
Di bawah Seksyen 27(1) Akta SPRM, adalah menjadi satu kesalahan jenayah bagi mana-mana pihak yang membuat kenyataan palsu atau bertujuan mengelirukan kepada pegawai SPRM.
Jika disabitkan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








