Menteri Pertahanan hadiri majlis pembukaan UN Peacekeeping Ministerial 2025 di Berlin
BERLIN – Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini hadir pada Majlis Pembukaan United Nations (UN) Peacekeeping Ministerial 2025 yang berlangsung di republik Persekutuan Jerman.
Majlis pembukaan itu dimulakan dengan ucapan oleh Menteri Luar Negeri Jerman, Johann Wadephul dan Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius.
Ia kemudiannya disusuli dengan ucaptama oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres.
Mohamed Khaled dalam satu kenyataan menegaskan komitmen berterusan Malaysia terhadap misi pengaman PBB, menyifatkan penyertaan negara dalam misi tersebut sebagai konsisten dan signifikan sejak sekian lama.
“Malaysia merupakan antara negara yang aktif dan konsisten menyumbang kepada misi pengaman di bawah panji-panji PBB.
“Ia mencerminkan pendirian teguh negara dalam menyokong usaha global ke arah keamanan dan kestabilan,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan untuk menyesuaikan operasi pengaman dengan realiti semasa, mengambil kira perubahan landskap geopolitik dan cabaran global yang semakin kompleks.
“Pembaharuan dalam pendekatan pengaman amat diperlukan supaya setiap operasi yang dijalankan bukan sahaja berkesan, tetapi juga dihormati dan dipercayai oleh semua pihak terlibat,” tambah beliau.
Katanya, Malaysia terus menyokong segala inisiatif ke arah memperkukuh kecekapan dan keberkesanan misi pengaman PBB serta bersedia memainkan peranan konstruktif dalam usaha ini.
UN Peacekeeping Ministerial merupakan platform penting yang menghimpunkan pemimpin pertahanan dan luar negeri dari seluruh dunia bagi membincangkan langkah-langkah memperkukuh misi pengaman PBB melalui pembaharuan strategik, komitmen politik dan kerjasama antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








