Polis ambil keterangan pemandu bas kemalangan di UUM
ALOR SETAR -Polis mengesahkan sudah mengambil keterangan dua pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan maut melibatkan seorang penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, kedua-dua pemandu berusia 32 dan 37 tahun itu dibebaskan selepas keterangan diambil.
Katanya, ujian air kencing yang dilakukan terhadap pemandu bas yang melanggar belakang sebuah lagi bas itu didapati bebas dadah.
“Pemandu terbabit hanya mengaku tidak perasan bas di hadapannya ketika kemalangan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian pukul 8.45 semalam, penuntut UUM, Manarina Hasya Muhammad Karim maut apabila dilanggar sebuah bas kampus yang dilanggar oleh sebuah lagi bas dari belakang.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia pada pukul 6.30 petang ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Sementara itu, Mohd Radzi berkata, bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan lebam pada jantung (cardiac contusion) yang berpunca daripada hentakan kenderaan.
Jenazah mangsa kemudian dibawa pulang ke Johor dengan van jenazah Pusat Islam UUM pada jam 1.15 tengah hari tadi, sejurus selepas bedah siasat selesai dilakukan di HSB.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















