BERITA SEMASA

Lagi kes Jalur Gemilang tidak lengkap, TCE mohon maaf

KUALA LUMPUR – Penganjur TCE Baby Expo tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia susulan insiden penyertaan salah satu pempamer, Singapore Lactation Bakes (SLB), yang memaparkan kandungan tidak wajar termasuk penggunaan Jalur Gemilang tanpa bulan.

Dalam kenyataan pihak penganjur memaklumkan mereka mengambil serius perkara tersebut dan telah mengambil beberapa langkah segera.

“Operasi reruai Singapore Lactation Bakes dihentikan serta-merta dan booth berkenaan telah ditutup.

“Video promosi yang tular itu juga telah diturunkan serta-merta selepas kami dimaklumkan mengenainya.

“Kami sedang menjalankan siasatan dalaman dan bekerjasama dengan semua pihak terlibat bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil,” menurut kenyataan hari ini.

Pihak penganjur turut menegaskan komitmen mereka untuk meneliti semula proses semakan kandungan bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang pada masa akan datang.

“Kami mohon sedikit masa dan kesabaran daripada orang ramai untuk kami menyelesaikan perkara ini sebaik mungkin.

Kami akan terus berusaha menjaga maruah serta identiti negara,” katanya lagi.

Sementara itu, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung turut menzahirkan rasa kesal terhadap penggunaan Jalur Gemilang yang tidak lengkap pada bahan promosi pempamer tersebut.

Dalam satu hantaran ringkas di Facebook, beliau memuat naik gambar bahan promosi SLB yang jelas memaparkan Jalur Gemilang tanpa lambang bulan.

“Satu lagi kes Jalur Gemilang tanpa bulan! Terlalu banyak ‘kebetulan’,” katanya.

Hantaran itu turut mengundang reaksi pelbagai pihak di media sosial yang menyifatkan perkara berkenaan sebagai tidak sensitif dan wajar dikenakan tindakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button