BERITA SEMASAPOLITIK

Calon baharu AMK Gombak teruskan legasi, bawa reformasi

GOMBAK – Barisan calon kepimpinan baharu Angkatan Muda Keadilan (AMK) Gombak tampil dengan iltizam tinggi untuk meneruskan perjuangan yang telah diasaskan sejak 1999, menjelang pemilihan PKR yang bermula hari ini.

AMK Gombak dalam satu kenyataan berkata, pemilihan pada kali ini bakal menjadi titik tolak penting dalam landskap politik anak muda khususnya di kawasan Gombak.

Katanya, dengan berpegang teguh kepada semangat reformasi dan nilai-nilai keadilan, barisan ini bukan sahaja menawarkan visi dan misi baharu, malah membawa semangat dan kekuatan untuk menjadikan AMK Gombak sebagai salah satu tonggak utama barisan hadapan parti.

Tambahnya, kepimpinam baharu itu juga komited dalam mempertahankan Kerajaan Perpaduan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menyokong penuh kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Kami percaya bahawa Gombak sentiasa menjadi nadi gerakan perubahan dari zaman awal reformasi sehingga kini.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab generasi baharu AMK untuk memperkukuhkan semula hubungan dengan akar umbi, memperkasakan peranan anak muda dalam masyarakat, dan memacu Gombak sebagai model politik progresif dan matang,” kata AMK Gombak dalam satu kenyataan.

Pemilihan pimpinan pusat PKR dijangka berlangsung pada 24 Mei, bermula dengan pemilihan peringkat cabang dari 11 hingga 20 April depan.

Barisan calon kepimpinan AMK Cabang Gombak.

Barisan kepimpinan yang tampil menawarkan diri pada pemilihan kali ini terdiri daripada Haris Harahap sebagai calon Ketua AMK Gombak, Hayee Zailani sebagai calon Timbalan Ketua AMK Gombak dan Danial Amsyar iaitu calon bagi Naib Ketua AMK Gombak.

Menurut AMK Gombak lagi, calon-calon tersebut merupakan gandingan ideal yang membawa kombinasi pengalaman lapangan, semangat akar umbi, serta idealisme anak muda yang segar dan berani untuk membuat perubahan serta memikul amanah perjuangan.

“Dengan tema “Penerus Legasi, Harapan Gombak”, kami menyeru semua anggota AMK Gombak untuk bersama-sama menyokong aspirasi ini demi kesinambungan perjuangan rakyat yang lebih tersusun, inklusif dan berpaksikan reformasi,” katanya menurut kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button